fbpx
Selepas sebulan berjaya menurunkan berat badan pada bulan Ramadan, jangan pula sepanjang Syawal kita menggemukkan diri. -Gambar hiasan

Puasa turun 2kg, raya naik 3kg

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Puasa adalah peluang terbaik untuk menurunkan berat badan. Manakan tidak, anda berpuasa lebih 10 jam sehari selama sebulan.

Ibadah puasa mestilah diniatkan kerana Allah semata-mata, namun jika pada masa sama berat badan menurun, itu satu bonus. Pahala dapat, turun berat badan pun dapat.

Berpuasa juga memberi banyak bermanfaat untuk kesihatan seperti menurunkan tekanan darah, kadar kolesterol dan mengawal paras glukosa.

Setelah sebulan berpuasa, pasti ramai yang berat badan mereka telah berkurangan kira-kira 2 kilogram (kg) dan tahap kesihatan menjadi semakin baik.

Bagaimanapun, untuk mengekalkan berat badan adalah sesuatu yang amat sukar dilakukan. Ramai orang mampu menurunkan berat badan, tetapi ramai juga yang gagal mempertahankannya.

Ketika Ramadan, berat badan menurun kira-kira 2kg, tetapi apabila musim raya, berat badan naik semula, malah sehingga 3kg!

Tambahan pula juadah raya yang dihidangkan amat menggoncang nafsu makan. Lemang, ketupat, rendang, lontong, nasi himpit dan kuih raya antara hidangan paling popular.

Sebiji ketupat seberat 50 gram mengandungi 130 kalori, manakala sepotong lemang kecil mengandungi 100 kalori.

Jarang kita makan hanya sepotong lemang, kebiasaannya lebih daripada tiga potong. Jadi sudah ada 300 kalori.

Selain itu, kuih raya juga mempunyai kalori dan kandungan gula yang tinggi. Misalnya makan tiga biji tart nanas bersamaan dua sudu teh gula dengan 291 kalori.

Ramai yang sukar mengawal nafsu ketika beraya. Mereka seolah-olah terlupa atau buat-buat lupa sedang mengidap kencing manis, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi.

Raya dijadikan hari untuk melepaskan nafsu makan yang seakan sudah lama terpendam. Jumlah kalori atau kandungan gula dalam makanan tidak lagi dipedulikan.

Kata mereka, susah hidup kalau setiap makanan perlu dikira kalori. Malah ada yang kata, jaga makan dan kuat bersukan pun boleh menghidap banyak penyakit termasuk kanser.

Kata-kata tersebut ada kebenarannya, tetapi risiko untuk jatuh sakit boleh dikurangkan dengan mengawal pemakanan berbanding mereka yang ‘melantak’ semua makanan.

Tidak salah untuk makan semua juadah semasa raya, namun perlu beringat-ingat dan diambil dalam kuantiti kecil. Air manis perlu dikurangkan, jika boleh dielakkan. Lebih banyak minum air kosong.

Mulakan semula aktiviti sukan atau rekreasi agar dapat membakar lemak dalam badan.

Selepas sebulan berjaya menurunkan berat badan pada bulan Ramadan, jangan pula sepanjang Syawal kita menggemukkan diri, tambahan pula banyak rumah terbuka akan diadakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN