Aaron (kiri) dan Wooi Yik yang diharapkan muncul juara All England turut tersingkir awal.

Beregu negara hilang rentak di All England

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

APA yang sudah berlaku pada pemain-pemain badminton negara kita pada kejohanan All England di Birmingham dua minggu lalu apabila tiada seorang wakil pun yang berjaya melayakkan diri ke suku akhir.

Harapan menggunung yang diletakkan peminat-peminat sukan tanah air untuk menyaksikan pemain negara meraih gelaran pada kejohanan badminton tertua di dunia itu hanyalah sekadar impian semata-mata.

Lebih menyedihkan, reputasi gah pemain-pemain beregu lelaki negara tercalar apabila lima daripada enam wakil yang beraksi pada kejohanan Jelajah Dunia Super 1,000 itu tersingkir seawal pusingan pertama.

Buat beregu-beregu lelaki yang bernaung di bawah Persatuan Badminton Malaysia (BAM), mungkin ia disebabkan fasa peralihan program latihan bimbingan ketua jurulatih baharu, Herry Iman Pierngadi.

Bagi penulis, alasan itu boleh diterima tetapi pemain-pemain, terutamanya beregu terbaik negara perlu mara sekurang-kurangnya ke suku akhir, bukannya tewas secara ‘berjemaah’ di pusingan awal.

Sudah tentu keputusan itu mengejutkan memandangkan Malaysia memiliki tiga wakil dalam kelompok 10 teratas ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF) bagi acara beregu lelaki seperti Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun.

Daripada tiga beregu tersebut, dua merupakan pemain yang bernaung di bawah BAM memandangkan Sze Fei-Izzuddin sudah pun bergerak secara profesional sehingga berjaya melonjak ke ranking No.2 dunia.

Kekecewaan itu bukan sahaja dirasai peminat-peminat sukan tanah air, malah ia turut memberi kesan kepada Herry yang menganggap keputusan di All England adalah pengalaman terburuk buatnya sejak bergelar jurulatih.

“Apa yang boleh saya cakap, memang penampilan pada All England kali ini boleh dianggap gagal. Ada (pengalaman) begini tetapi tidak semua pemain tersingkir di pusingan pertama.

“Berhubung corak permainan yang mahu diterapkan, kadang-kadang ada dan kadang-kadang tiada kerana belum konsisten. Setiap jurulatih memang sentiasa harapkan hasil terbaik daripada setiap pemain,” katanya.

Sekiranya masalah konsistensi ini tidak diperbaiki segera, ia mungkin boleh memberi kesan besar kepada masa depan sukan badminton negara memandangkan persaingan di pentas antarabangsa semakin sengit.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan pemain-pemain negara tidak ada sebarang masalah dari segi corak permainan, namun yang menjadi penghalang kekuatan mental ketika berdepan tekanan dalam gelanggang.

Justeru, ia memerlukan komitmen daripada pemain itu sendiri bagi mencari jalan bagaimana untuk kekal tenang dan percaya pada kemampuan biarpun sedang ketinggalan kepada pasukan lawan.

Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (BAM), Rexy Mainaky pula menganggap prestasi hambar ditampilkan anak-anak buahnya mungkin disebabkan masih keliru dengan corak permainan yang mahu digunakan.

“Saya fikir mereka masih berada dalam proses transisi untuk program latihan Herry. Sebagai contoh, Wei Chong-Kai Wun agak keliru dengan permainan jika dibandingkan ketika BAMTC (Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia) lalu,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN