KEGEMBIRAAN jelas terpancar di wajah Lela Suffian saat dia melihat bot membawa buku-buku yang dipesan menerusi platform Kota Buku Digital Malaysia tiba di jeti.
Apabila bungkusan berada dalam genggamannya, remaja berusia 15 tahun itu tidak menunggu lama untuk meneliti helaian buku yang selama ini sukar didapati di pulau tempat tinggalnya.
Baginya, buku merupakan jendela dunia, namun akses kepada bahan bacaan sentiasa menjadi cabaran kerana penduduk kampungnya terpaksa menaiki bot ke Kota Kinabalu untuk mendapatkan kemudahan tersebut.
Menurut Lela, pembelian buku menggunakan Baucar Buku Madani 2024 yang disediakan di platform Kota Buku Digital membolehkannya memilih buku yang sesuai dengan minatnya.
“Pembelian buku di Kota Buku Digital amat mudah kerana dilakukan secara
dalam talian dan menjadi lebih murah dengan penggunaan Baucar Buku Madani 2024.
“Saya juga boleh memilih sendiri buku yang saya minati. Ini merupakan sesuatu yang sebelum ini sukar untuk saya lakukan,” katanya kepada K-Remaja.
Lela merupakan salah seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Gaya, Kota Kinabalu, Sabah yang menerima manfaat Baucar Buku Madani 2024.
Baucar tersebut merupakan inisiatif kerajaan untuk menggalakkan budaya membaca dan meringankan beban kewangan pelajar dalam mendapatkan bahan bacaan.
Setiap murid tahun empat hingga tahun enam menerima RM50, manakala pelajar sekolah menengah dan institut pengajian tinggi memperoleh RM100.
Pelajar boleh membeli pelbagai buku di Kota Buku Digital dengan menebus Baucar Buku Madani 2024 yang telah dikreditkan ke dalam akaun mereka melalui Portal Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa).
Inisiatif yang digerakkan oleh Perbadanan Kota Buku (PKB) tersebut selari dengan konsep Kota Buku Digital bagi membangunkan ekosistem literasi digital yang inklusif dan berkualiti di Malaysia.
PKB ialah sebuah syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan ditubuhkan pada tahun 2011.
MENURUT Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PKB, Adibah Omar, bagi mencapai matlamat sebagai negara membaca, pihaknya menumpukan pada dua aspek utama iaitu pendemokrasian akses pembukuan dan mencipta permintaan kepada penawaran ekosistem industri buku.
“Akses kepada buku di luar bandar masih amat terhad, malah di sesetengah kawasan hampir tiada langsung. Oleh itu, jurang ini perlu dirapatkan dengan pendemokrasian akses pembukuan menerusi Kota Buku Digital dan baucar buku.
“Masalah bukannya pada kekurangan penghasilan buku berkualiti, tetapi kekurangan minat membaca yang dipengaruhi oleh kurangnya akses kepada buku yang bersesuaian dengan minat masing-masing,” katanya.

Kota Buku Digital ialah langkah awal Perbadanan Kota Buku dalam merealisasikan Kota Buku Fizikal seperti Paju Book City di Korea Selatan dan Sharjah Publishing City di Emiriah Arab Bersatu.
Di dalam Kota Buku Digital, terdapat pelbagai komponen yang memenuhi keperluan komuniti pembaca dan pemain industri buku termasuk Mall Kota Buku (yang menjual pelbagai buku), Mall eBuku, Meja Penulis, Sudut
Pencinta Buku dan Menara Penerbit.
Inisiatif ini telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Mei 2023 semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023.
Menerusi Mall Kota Buku dalam platform Kota Buku Digital, orang awam yang tidak layak menerima Baucar Buku Madani 2024 turut boleh mengakses dan membeli lebih 11,000 judul buku pelbagai genre.
Menurut Adibah, walaupun terdapat skeptikal terhadap minat membaca dalam kalangan golongan muda, pemerhatian pihaknya ketika Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur menyangkal tanggapan itu.
“Beberapa tahun lalu, Pesta Buku mula dianjurkan pada cuti sekolah dan kami dapati ramai ibu bapa membelanjakan sebahagian besar wang untuk buku-buku anak mereka.
“Dengan akses kepada genre yang diminati, kami berharap akan ada peningkatan sekurang-kurangnya 10 peratus pembaca baharu dalam kalangan masyarakat pada setiap tahun,” katanya.
Meskipun kewujudan Kota Buku masih lagi belum dapat direalisasikan sepenuhnya, namun PKB telah membangunkan Mini Kota Buku dan Kota Buku Masjid.
Mini Kota Buku adalah projek yang menyediakan akses kepada buku dan bahan bacaan berkualiti kepada pelajar menerusi penaiktarafan perpustakaan.
Program tersebut melibatkan penyediaan sudut bacaan yang dilengkapi pelbagai jenis buku fizikal, keperluan dan elemen digitalisasi, sudut bacaan kelas, pod bacaan, sudut cerita pelbagai bentuk, pengalaman pembacaan realiti tambahan (AR) dan realiti maya (VR), pengimarahan aktiviti pembukuan melalui kelab buku dan aktiviti pembukuan serta pembelian runcit dan pukal melalui Kota Buku Digital Malaysia.
Setakat ini, program Mini Kota Buku telah menerima permohonan daripada 205 sekolah dan telah dilaksanakan di 10 buah sekolah. Antaranya ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pa’pura, Kelantan; SK Wakaf Mempelam,
Terengganu; SK Sungai Karang, Pahang; SK Seremban 2A, Negeri Sembilan; SJK(T) Paya Rumput, Melaka; SK St. George Satu, Perak; SMK Seri Sepang, Selangor; SMK Kota Masai, Johor; SMKA Sultan Azlan Shah, Perak dan Kolej Vokasional (Pertanian) Teluk Intan, Perak.
Sementara itu, Kota Buku Masjid pula merupakan inisiatif yang menempatkan sudut bacaan di masjid-masjid terpilih.
Sudut tersebut dilengkapi dengan bahan bacaan yang sesuai, termasuk buku-buku agama dan bahan bacaan umum, untuk menggalakkan komuniti setempat menjadikan masjid sebagai pusat ilmu.
Sebagai projek perintis, tiga buah masjid utama di Seberang Perai, Pulau Pinang telah dipilih untuk melaksanakan program berkenaan.
Selain itu, PKB turut memperkenalkan inisiatif untuk memudahkan sekolah-sekolah di Malaysia melanggan tiga akhbar utama berbahasa Melayu iaitu Utusan Malaysia, Berita Harian dan Sinar Harian.
Jelas Adibah, pembacaan akhbar penting dalam kalangan pelajar kerana ada menyediakan kepelbagaian pembacaan berbanding algoritma media sosial yang bersifat khusus.
“Algoritma media sosial menjadikan kandungan lebih khusus dengan menyesuaikan bahan berdasarkan minat pengguna, tetapi berbeza dengan surat khabar yang merangkumi pelbagai topik dalam satu naskhah.
“Perkara ini penting buat pelajar dan anak muda agar mereka memiliki pengetahuan lebih luas tentang topik-topik berbeza yang mungkin tidak timbul di media sosial mereka akibat fungsi algoritma,” katanya.














