SETIAP tahun, koleksi pakaian sempena Hari Raya Aidilfitri menampilkan trend-trend tersendiri yang digarap oleh pereka fesyen, penata gaya dan pempengaruh tanah air.
Menurut penata gaya, Min Luna, sekitar beberapa tahun kebelakangan ini, trend Aidilfitri dilihat berbalik kepada elemen klasik dengan kembalinya beberapa busana atau rekaan seperti kurung berpesak, kebaya, penggunaan selendang dan juga siluet lebih elegan serta rekaan ringkas.
“Jika tahun lalu rekaan banyak tertumpu kepada kembalinya ilham siluet kebaya Jawa dan Nyonya, kali ini kebaya Kota Bharu membuka trend baharu untuk Aidilfitri yang diolah dalam pelbagai versi,” katanya ketika ditemui CitaRasa di pesta jualan Eid-Pop-up, CirKLe.2025 di The Campus, Ampang, Selangor, baru-baru ini.
Tambahnya, apa yang membezakan kebaya yang asal usulnya dari Kelantan ini dengan yang lain adalah ia mempunyai ciri-ciri rekaan dipengaruhi gabungan budaya Melayu, Siam (Thailand) dan Indonesia.
Katanya lagi, kebaya Kota Bharu mempunyai beberapa ciri berbeza dengan kebaya biasa terutama dari segi siluet. Kebaya ini tidak seperti kebaya moden yang mengikut bentuk badan sebaliknya lebih longgar dan labuh atau pendek, tetapi biasanya hingga ke paras lutut.
Bahagian hadapannya juga mempunyai bukaan yang ditutup dengan panel petak menegak seperti palang menampakkan ia seolah-olah pakaian luar yang disarung pada pakaian tube.
“Terdapat banyak terjemahan atau olahan untuk kebaya Kota Bharu oleh pereka-pereka fesyen bagi Aidilfitri kali ini yang banyak bermain dengan fabrik, siluet, panjang (kelabuhan) serta perincian pada pakaian.
“Namun begitu, rata-rata mereka masih mengekalkan elemen klasik iaitu siluet longgar serta perincian ringkas bagi menonjolkan lagi visual elegan si pemakai dan kesopanan dalam pemakaian masyarakat Melayu,” ujarnya.
Kongsinya lagi, kembalinya trend kebaya Kota Bharu turut melengkapi trend penggayaan bagi tahun ini yang bermain dengan penggunaan aksesori tradisi seperti dokoh, kerongsang dan juga selendang bahu atau selempang.
Turut tampil dengan koleksi Aidilfitri yang mengetengahkan kebaya Kota Bharu ialah pereka fesyen, Syomirizwa Gupta yang mengatakan terjemahan fesyen kebaya itu boleh dilakukan dalam konsep tradisi dan moden bagi memenuhi keperluan kepelbagaian bentuk badan pemakai.

Jelasnya, koleksi rekaan kebaya Kota Bharunya diketengahkan dalam bentuk lebih moden dan dipadankan dengan siluet klasik seiring tema keanggunan warisan Nusantara.
“Kebaya Kota Bharu boleh diterjemahkan dalam pelbagai rekaan bergantung kepada estetik dan identiti jenama itu sendiri, malah ia fleksibel untuk rekaan klasik sedia ada atau diberi sentuhan moden.
“Dalam koleksi saya, kebaya ini direka labuh dan polos dalam mentafsir keselesaan serta kesopanan dan keanggunan wanita Melayu selain perincian roset tiga dimensi (3D) di bahagian hadapan untuk sentuhan moden serta padanan kain bercorak batik,” kongsinya.

Mengulas tentang trend yang menjadi pilihan Aidilfitri tahun ini, Syomirizwa mengatakan terdapat beberapa elemen lain yang turut menonjol dalam fesyen lebaran kali ini. Antaranya ialah gaya selendang, kemasan bow, pemilihan corak floral dalam rona lembut, fabrik lembut, ringan dan selesa, penggayaan corak dilapisi corak serta lace dan tema warna burgundy.
Bagi penggayaan selendang, tahun ini ia dilihat ditampilkan dengan saiz lebih besar serta padanan corak yang sepadan dengan baju.

Kemasan bow serta elemen 3D juga banyak diketengahkan untuk koleksi pakaian wanita selain pemilihan fabrik seperti sifon, sutera serta linen.
“Meskipun kebanyakan koleksi pakaian dilihat menampilkan elemen polos, trend corak dilapis corak dan lace juga mendapat perhatian dan menjadi pilihan untuk penggayaan raya kali ini.
“Warna merah burgundy juga dilihat menjadi pilihan ramai selain hijau mint, rona tanah serta pastel yang menghidupkan elemen klasik moden dalam fesyen raya kali ini,” ujarnya.
Sementara itu, pereka fesyen jenama Tujuh Kuntom, Amelin Asri menterjemah trend raya tahun ini sebagai klasik dalam elegan dan minimalis.
Katanya, gaya tahun ini dilihat kembali membawa jiwa klasik dalam pakaian tanpa kemasan berlebihan, malah siluet juga lebih sopan seperti wanita pada era terdahulu.
Hal itu turut diterjemah dalam koleksi rayanya iaitu Perempuan Raya 2025 yang memberi penghormatan kepada wanita Melayu sejati selain mengembalikan nilai fesyen tradisional.
“Tahun ini kita dapat rekaan baju yang tidak berlebihan serta terlalu moden seperti beberapa tahun kebelakangan ini yang menambah elemen moden seperti peplum atau bahu kembang atau puff.
“Kebangkitan fesyen Melayu lebih menonjol dengan mengetengahkan warna lembut, pastel dan tanah yang mencerminkan keanggunan tanpa perlu terlalu bereksperimen,” katanya yang turut mengetengahkan olahan kebaya Kota Bharu.
Kongsinya lagi, dalam koleksinya juga, trend 2025 diterjemahkan dalam mengutamakan keselesaan dan gaya untuk kurung serta kebaya yang digarap dalam siluet klasik serta pemilihan fabrik linen serta lace.
Idea penggayaan juga diseragamkan dengan aksesori kerongsang rekaan klasik bagi menghidupkan lagi elemen tradisional dalam pakaian.
Gaya polos pada pakaian juga dipadankan dengan kain corak batik yang signifikan pada gaya klasik serta menyerlahkan lagi keanggunan wanita Melayu.
“Sebagai pereka tempatan, penghargaan kepada trend klasik perlu sentiasa diketengahkan agar ia tidak lapuk dek zaman dan dilupakan terutama oleh generasi muda.
“Aidilfitri merupakan antara masa yang ideal untuk penggiat fesyen mengembalikan kegemilangan fesyen tradisonal Melayu dengan menampilkan rekaan yang penuh jiwa dan penghormatan kepada elemen warisan tanah air,” ujarnya.














