BESUT – Lambakan bekalan tembikai pada bulan puasa menyebabkan harga lantai buah itu jatuh sehingga 60 sen sekilogram (kg) paling teruk dalam tempoh 10 tahun.
Harga runcit tembikai gred AA pula hanya boleh dijual RM1 hingga RM1.50 sekilogram sehingga memberi tekanan terhadap pengusaha buah itu di Terengganu dan Kelantan.
Pemborong, Mohd. Bukhari Mohd. Rosdi, 38, berkata, dia mengambil inisiatif membantu petani mengatasi lambakan tembikai dengan melelong serendah 90 sen sekilogram sejak Sabtu lalu.
“Saya berbuat demikian kerana mahu membantu 30 petani tembikai di Terengganu dan Kelantan yang selama ini bekerjasama dengan saya memasarkan buah tersebut.
“Selain tawaran 90 sen sekilogram bagi tembikai gred AA dan A, saya juga menjual empat biji tembikai gred B RM10 serta tembikai gred A dan B pula RM15,” katanya ketika ditemui di gerainya di Kampung Anak Ikan di sini semalam.
Mohd. Bukhari berkata, strateginya melelong tembikai itu membuahkan hasil apabila lebih dua tan buah tersebut terjual setiap hari sejak Sabtu lalu.
Katanya, lelongan itu terpaksa dibuat kerana tembikai perlu dijual dalam tempoh kurang 10 hari selepas dipetik bagi menjamin kesegarannya.
“Sebahagian bekalan dihantar ke seluruh negara terutama Lembah Klang, Johor dan Kedah. Keadaan ini berlaku kerana rata-rata pengusaha tembikai terlalu menumpukan pengeluaran untuk bulan Ramadan,” katanya.
Mohd. Bukhari berkata, strategi untuk meraih keuntungan besar kerana permintaan tinggi pada bulan puasa itu akhirnya memakan diri apabila berlakunya pengeluaran yang berlebihan.
“Ini disebabkan musim menuai yang serentak di hampir semua ladang dan kebun tembikai di Pantai Timur,” katanya.















