fbpx
SHAHRUNAIM (tengah, lima dari kiri) dan Dr. Boi Saidi (tengah, lima dari kanan) bersama para peserta kursus anjuran KPKT dan Perdim di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.

Bantu 35 wanita Kota Bharu jadi usahawan perbidanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEIRING kepesatan ekonomi negara ketika ini, golongan wanita terutamanya suri rumah dan ibu tunggal juga tidak seharusnya dipinggirkan.

Golongan berkenaan sebenarnya boleh terlibat dalam penjanaan pendapatan bagi memperbaiki taraf hidup apatah lagi jika mereka tinggal di kawasan bandar. 

Menyedari hakikat itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan kerjasama Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) telah menganjurkan program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) 2025.

Program berlangsung selama tujuh hari di Hotel Grand Riverview, Kota Bharu, Kelantan itu melibatkan seramai 35 orang wanita berusia antara 18 hingga 58 tahun yang kebanyakannya adalah suri rumah dan ibu tunggal.

Menerusi program tersebut, para peserta berpeluang mendalami ilmu berkaitan penjagaan kesihatan ibu berpantang selepas bersalin dan bayi menerusi Kursus Eksklusif Pantang dan Penjagaan Kesihatan Ibu, sekali gus membolehkan mereka bergelar usahawan.

Menurut timbalan penganjur kursus tersebut, Dr. Suffia Hany Mohd. Amin, program PEKB dianjurkan bertujuan membantu wanita dalam kumpulan B40 yang menetap di sekitar bandar Kota Bharu menjana pendapatan.

Katanya, bagi program di Kota Bharu, pihaknya memilih untuk menerapkan kursus berkaitan penjagaan ibu berpantang selepas bersalin dan penjagaan bayi kerana permintaan terhadap perkhidmatan tersebut semakin meningkat.

“Ini merupakan kali pertama pihak Perdim menganjurkan kursus berkenaan di Kota Bharu. Menerusi program ini, kami ingin membantu golongan wanita terutamanya suri rumah dan ibu tunggal menjana pendapatan menerusi kursus yang diberikan.

PARA peserta diajar mengenai cara memasak herba tangas untuk ibu selepas bersalin.

“Kursus ini diberi secara percuma kepada mereka yang terpilih. Peserta juga diberi penginapan sepanjang tujuh hari kursus berlangsung, selain duit poket dan perjalanan berjumlah RM500 seorang,” ujarnya ketika ditemu bual K-Wanita baru-baru ini.

Antara modul yang diketengahkan sepanjang kursus tersebut adalah pembangunan minda insan bagi membina keyakinan diri dan menetapkan matlamat kepada para peserta.

Dalam kursus tersebut juga, para peserta didedahkan dengan kemahiran urutan selepas bersalin, asas rawatan penjagaan badan, anatomi perbidanan, bertungku, param pilis, bengkung, penjagaan bayi dan banyak lagi.

Menurut Dr. Suffia Hany yang juga Ahli Jawatankuasa Perdim, kursus tersebut melibatkan teori dan amali bagi memudahkan para peserta memahami setiap ilmu yang diberikan.

“Kemahiran yang kami berikan ini tidak terhad kepada amalan tradisional saja. Sebaliknya, kami juga menerapkan ilmu-ilmu moden dalam penjagaan ibu berpantang dan bayi. 

“Salah satu kehebatan kursus kemahiran ini, ia disampaikan oleh doktor-doktor perubatan dari Perdim yang memiliki pengalaman luas,” ujarnya.

Selepas tamat kursus, para peserta bukan sahaja diberi sijil, malah mereka mendapat peralatan untuk penjagaan ibu berpantang selepas bersalin dan bayi yang dianggarkan bernilai RM4,000 secara percuma.

Antara peralatan yang diberikan termasuklah set tangas, bengkung, set tuam bayi, set batu tungku, produk param pilis dan tapel, set minyak urutan serta katil mudah alih.

“Selepas tamat kursus ini, kami akan memantau para peserta selama enam bulan. Ia bagi memastikan mereka dapat menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM750 bagi tiga bulan sepanjang tempoh pemantauan kami,” ujarnya.

Majlis penutup kursus tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Bahagian Cawangan Peningkatan Sosioekonomi Bahagian Kesejahteraan Komuniti, KPKT, Shahrunaim Radzali. 

Turut hadir pada majlis ialah penganjur kursus berkenaan yang juga Presiden Perdim, Dr. Boi Saidi Abdul Razak.

SALAH seorang tenaga pengajar menunjukkan cara urutan selepas bersalin kepada peserta program.

Sementara itu, salah seorang peserta, Ayu Nur Syafieqa Ismail, 25, berkata, kursus berkenaan memberi banyak manfaat kepada golongan wanita yang masih tercari-cari peluang untuk  menambah pendapatan keluarga.

Ujarnya, menerusi kursus tersebut, para peserta dapat mendalami pelbagai ilmu berkaitan penjagaan ibu berpantang selepas bersalin dan bayi sehingga membolehkan mereka bergelar seorang usahawan.

“Selepas habis belajar, saya masih belum mempunyai pekerjaan tetap kerana terpaksa menjaga bapa yang sedang sakit di rumah.

“Jadi menerusi kursus ini, saya ingin memulakan perkhidmatan secara sambilan mengurut ibu berpantang selepas bersalin, sekali gus membolehkan saya menjana pendapatan,” ujar wanita berasal dari Kota Bharu itu.

Tambahnya, sepanjang kursus, dia cukup teruja dapat mempelajari pelbagai kemahiran baharu seperti pengurusan kewangan, urutan badan, anatomi perbidanan dan bertungku daripada tenaga pengajar bertauliah.

“Sebenarnya, saya memang sudah ada asas dalam mengurut badan. Namun sebelum ini, saya hanya belajar daripada orang-orang di sekeliling. Ini kali pertama saya dapat belajar mengurut secara formal daripada mereka yang pakar.

“Dengan kemahiran dan barangan yang diperolehi daripada kursus ini, ia meningkatkan lagi keyakinan saya untuk mula memberi perkhidmatan mengurut kepada ibu berpantang selepas bersalin. Ketika ini, saya giat menyediakan poster promosi untuk disebarkan di dalam media sosial,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN