PETALING JAYA – Pelakon Ellie Suriaty mendedahkan pertemuannya dengan pempengaruh Imran Bard bakal menjadi penentu sama ada dia akan meneruskan tindakan saman ataupun sebaliknya.
Menerusi hantaran dalam Instagram, Ellie atau nama lengkapnya Ellie Suriaty Omar, 54, memberitahu dia sudah memberi respons kepada Imran beberapa hari sebelum Ramadan untuk bertemu empat mata.
“Saya bersetuju dengan permintaannya untuk berjumpa. Namun menurutnya dia kini masih berada di kampung halamannya. Saya memahami itu, insya-Allah perjumpaan akan diadakan sekembalinya dia ke Kuala Lumpur kelak.
“Namun saya ingin tegaskan bahawa sesi pertemuan ini akan menjadi penentu sama ada saya akan meneruskan proses saman atau sebaliknya. Bergantung kepada keikhlasan dan ketulusan permohonan maaf daripadanya kepada saya.
“Saya berharap agar Allah mempermudahkan segalanya. Terima kasih atas segala sokongan, keprihatinan serta doa daripada kalian semua. Jaga adab,” tulisnya.
Terdahulu industri seni kecoh apabila Ellie mendakwa Imran menghinanya dengan memetik nama aktres itu dalam salah satu konten yang dimuat naik dalam akaun media sosial.
Sehubungan itu, Ellie menuntut agar ibu dan bapa Imran membuat permohonan maaf kepadanya.
Imran kemudian membuat permohonan maaf secara terbuka selepas dia dikecam oleh netizen dan penggiat industri seni yang menyifatkan tindakannya sebagai biadab. – KOSMO! ONLINE














