fbpx
Mangsa, 42, retak tulang tangan serta kaki kanan akibat dilanggar kereta berkenaan.

[VIDEO] Pasangan warga emas seret pemandu towing ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KAJANG -Seorang pemandu lori towing cedera akibat dirempuh sebuah kereta berhampiran Bandar Teknologi Kajang, di sini, 28 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pengadu wanita tempatan berusia 63 tahun pukul 4.54 petang semalam.

Menurut pengadu, anak lelakinya, 42, telah dilanggar sebuah kereta sehingga menyebabkan kecederaan dan tidak boleh bergerak dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari Jumaat lalu.

“Pengadu kemudiannya terus ke lokasi kejadian lalu terus membawa anak mangsa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Mangsa yang mengalami luka dan retak di tulang tangan dan kaki kanan kini sedang dirawat di hospital,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, hasil siasatan mendapati terdapat satu video papan pemuka (dashcam) kenderaan awam berjaya merakamkan kejadian tersebut.

“Di dalam video tersebut memaparkan sebuah kereta warna hitam dengan sengaja melanggar mangsa yang turun dari lori dipandunya.

“Mangsa diseret ke tengah atas pembahagi jalan sebelum kenderaan suspek melarikan diri,” jelasnya.

Ujarnya, sepasang suami isteri warga tempatan berusia 73 dan 65 tahun ditahan 11.15 malam semalam bagi membantu siasatan berkenaan kejadian ini serta mendapatkan punca sebenar kejadian.

“Kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah manakala suspek lelaki dibenar reman sehari.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 307 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes ini boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau Pegawai Penyiasat kes Insp. Mohd Hizwan Hamzah di talian 019-6369835 bagi membantu siasatan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN