SEJAK kecil, Duratul Yasmin Mohd. Yani, 27, telah banyak terdedah aktiviti laut memandangkan bapanya merupakan seorang nelayan dan abang-abangnya pula bekerja sebagai pemandu bot pelancong.
Duratul Yasmin membesar di kawasan kampung ekopelancongan berhampiran Kilim Geoforest Park di Pulau Langkawi, Kedah dan dia sendiri juga pernah bekerja di restoran sangkar ikan terapung secara separuh masa ketika musim cuti persekolahan.
“Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya dapati diri mempunyai minat yang lebih mendalam tentang laut.
“Saya kemudian mengambil keputusan untuk menyambung pengajian dalam jurusan perikanan di Akademi Perikanan Malaysia (APM) di Chendering, Terengganu selama dua tahun,” katanya.
Di APM, antara subjek yang Duratul Yasmin pelajari merangkumi pengenalan akuakultur, teknologi pengendalian ikan, teknologi pembenihan ikan, pengurusan kesihatan ikan dan lain-lain lagi.
Di situ, setiap minggu, mereka akan belajar tiga hari di dalam kelas dan dua hari melakukan amali sama ada di dalam makmal ataupun keluar melawat ke tapak-tapak projek berkaitan perikanan.
Duratul Yasmin menjelaskan, dia turut melakukan latihan industri di syarikat Grouper Palace Sdn. Bhd. selama tiga bulan.
Kemudian dia mendapat tawaran untuk bekerja di syarikat itu.
“Saya bekerja selama lebih tiga tahun sebagai supervisor di syarikat itu.
“Pada 2022 , saya mengambil cabaran dengan berhenti kerja di syarikat tersebut dan mengusahakan ternakan ikan dalam sangkar sendiri di perairan Tanjung Rhu,” jelasnya.
Dia terdorong untuk mengusahakan perniagaan tersebut selepas banyak dalam kalangan ahli keluarganya hilang peluang pekerjaan disebabkan pandemik Covid-19.
Memandangkan bahagian sumber perikanan dan bekalan makanan dibolehkan beroperasi seperti biasa pada ketika itu, lalu dia mengambil langkah berani mengubah keadaan dengan merancang untuk membuka sendiri ternakan ikan dalam sangkar terapung.
Berbekalkan modal simpanan yang ada, dia membina sebuah rumah rakit terapung untuk ruang penyimpanan barangan dan 10 petak sangkar untuk penternakan ikan.
Ikan yang diternak olehnya adalah kerapu botol dan kerapu hibrid.

Dalam pada itu, Duratul Yasmin berkata, jumlah ternakan ikan juga bergantung kepada bekalan benih yang tersedia oleh pihak pembekal atau nelayan.
“Untuk satu petak sangkar, sebanyak 300 hingga 500 ekor ikan bersaiz 6 hingga 8 inci boleh diternak.
“Setiap bulan, penjualan ikan adalah sekitar 60 hingga 100 kilogram (kg) mengikut permintaan.
“Permintaan dari restoran sekitar akan tinggi pada musim cuti sekolah dan perayaan,” jelasnya.
Menurutnya, mengusahakan ternakan ikan dalam sangkar bukanlah sesuatu yang mudah dan Duratul Yasmin juga berhadapan cabaran yang tersendiri.
Antara cabaran yang dihadapinya adalah keadaan cuaca seperti hujan dan ribut yang tidak menentu serta ancaman daripada pemangsa iaitu memerang dan biawak.
Selain itu, dia juga berhadapan dengan masalah kekangan benih ikan yang tidak mencukupi serta kos penghantaran yang terlalu mahal.
Apapun cabaran yang dilalui dalam kerjayanya kini, Duratul Yasmin mengakui, memilih untuk mendalami bidang kemahiran dan mengambil sijil dalam bidang perikanan adalah keputusan tepat yang dilakukan olehnya.
“Pendidikan tidak mempunyai batas bagi lelaki atau perempuan untuk menceburi sesuatu bidang.
“Ia adalah proses untuk membentuk seseorang individu menguasai sesuatu kemahiran dan membawa kepada kerjaya.
“Biarpun bidang yang dipilih saya ini banyak dimonopoli lelaki tetapi saya menyahut cabaran untuk terlibat sama dalam bidang ini,” katanya.















