fbpx
PENGGUNA perlu menitik beratkan jenis fabrik yang digunakan selain fokus dengan rekaan baju raya tersebut.

Pilih fabrik selesa, ‘sejuk’ bukan cantik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEJAK awal Februari lalu, jenama-jenama pakaian berlumba-lumba mempromosikan baju raya. Ramai yang terkejut dengan situasi tersebut memandangkan kita belum masuk ke bulan Ramadan.

Bukan hanya jenama-jenama besar, peniaga-peniaga dalam aplikasi media sosial juga tidak terkecuali ligat mempromosikan baju raya.

Setiap malam, ada sahaja siaran langsung yang muncul dalam TikTok sambil memberikan diskaun tidak masuk akal kepada pembeli yang masih berjaga.

Rata-ratanya seolah-olah tidak sabar mahu ‘menakluk’ pelanggan. Bagaimanapun apabila terlalu banyak rekaan baju raya, pembeli pula pening memilih pakaian untuk digayakan pada hari lebaran.

Di kala sibuk memilih rekaan menarik, ada antara pembeli yang terlupa untuk meneliti penggunaan fabrik baju raya pilihan mereka. Sesuai atau sebaliknya, ciri ini selalu diabaikan pembeli.

Bagi pereka fesyen terkenal, Hatta Dolmat, pengguna perlu menitik beratkan jenis fabrik yang digunakan selain fokus dengan rekaan baju raya tersebut.

“Kalau beraya, kita jangan fikir mahu berfoto outfit of the day (OOTD) sahaja tetapi perlu fikir pakaian tersebut akan digunakan seharian.

“Sekarang pula ramai peniaga dalam talian yang mempromosikan baju raya. Pembeli tidak tahu kualiti tetapi tertarik dengan harga murah dan persalinan yang menarik.

“Fabrik yang pembeli perlu titik beratkan adalah selesa, tidak panas, tidak terlalu jarang dan nipis selain sesuai dipakai seharian lebih-lebih lagi buat mereka yang beraya di kampung,” katanya kepada Kosmo!.

Memandangkan iklim Malaysia adalah khatulistiwa yang panas dan lembab sepanjang tahun, Hatta memberi beberapa cadangan tentang pemilihan fabrik yang tepat pada hari raya kelak.

“Jenis kain paling sesuai adalah kapas 100 peratus , chiffon, linen ataupun satin.

“Elakkan memakai pakaian kain tebal seperti polyester campuran sebab fabrik jenis itu boleh menyebabkan seseorang itu berasa panas,” ujarnya.

Dalam masa sama, Hatta sempat menasihati pengguna untuk belajar mengenai jenis kain supaya lebih selesa menggayakan pakaian di hari raya kelak.

“Kadang-kadang orang cakap tempah baju dengan pereka fesyen mahal tetapi mereka lupa kami menitik beratkan penggunaan jenis kain.

“Pembeli perlu belajar kualiti kain dan juga buat perbandingan harga. Mereka juga perlu peka dengan harga, jenis ketebalan dan kesesuaian fabrik.

Bila ada lambakan penjualan dalam talian, ini akan mengakibatkan penggunaan fabrik murah supaya dapat dijual pada harga lebih rendah,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN