fbpx
Pasangan Malaysia yang berkahwin di pejabat Majlis Agama Islam Narathiwat, Thailand baru-baru ini.

Kos nikah Siam RM600 tapi caj RM3,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

NARATHIWAT, THAILAND – Kebanyakan ejen nikah yang membawa pasangan dari Malaysia untuk berkahwin di sini mengaut keuntungan ribuan ringgit apabila menetapkan harga yang terlampau tinggi untuk mengendalikan urusan perkahwinan.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat, Shafie Ibrahim mendedahkan, kos sebenar yang ditetapkan untuk berkahwin di Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat hanya RM600 bagi setiap pasangan.

Bagaimanapun menurutnya, dia mendapat maklumat bahawa kebanyakan ejen nikah dari Malaysia menetapkan kos lebih RM3,000 untuk membantu pasangan dari negara tersebut berkahwin di sini.

“Maklumat itu diperoleh hasil pengakuan pasangan terbabit selepas perkahwinan mereka berdepan dengan masalah.

“Kebanyakan pasangan dari Malaysia tidak berfikir panjang apabila sanggup mengeluarkan belanja sehingga lebih RM3,000 untuk membayar kepada ejen nikah,” katanya ketika ditemui pemberita di sini baru-baru ini.

Shafie memberitahu, pasa­ngan dari Malaysia kebiasaannya akan merujuk kepada Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat terutamanya melibatkan kos yang sudah dikeluarkan selepas mereka berada dalam keadaan tersepit.

“Saya ingin menasihatkan kepada pasangan Malaysia agar tidak menggunakan khidmat ejen. Datang ke Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat sendiri untuk membuat rujukan.

“Jangan pilih akad nikah di atas perahu, bawah pokok dan sebagainya. Perkara melibatkan perkahwinan ini mudah dan jangan pilih jalan susah,” ujarnya.

Beliau berkata, rakyat Malaysia yang berhajat untuk bernikah di Selatan Thailand tidak perlu bimbang kerana pernikahan di Majlis Agama Islam Wilayah Na­rathiwat sah mengikut hukum syarak.

Menurutnya, pihak majlis mengambil kira jarak (marhalah) mereka datang ke sini dan wanita yang merupakan janda perlu membawa bukti surat cerai atau sijil kematian suami.

“Selain itu, pihak wanita juga perlu bersumpah lokasi keberadaan wali dan belum pernah berkahwin. Jika cukup semua syarat itu, akad nikah akan dijalankan. Sekiranya tiada, kita memang tidak mahu meneruskan prosedur tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, seorang ejen nikah yang dikenali sebagai Azrul, 51, berkata, kos sebanyak lebih RM3,000 yang ditetapkan oleh ejen nikah itu melibatkan pelbagai aspek termasuk membawa pasangan ke Narathiwat dan Songkhla.

Menurutnya, segala kos yang ditetapkan itu melibatkan pengangkutan, penginapan dan urusan pengesahan termasuk cop daripada Konsul Jeneral Malaysia di Songkhla.

“Urusan itu bukan mudah dan ia mengambil masa selama hampir tiga hari sebelum surat sah perkahwinan di Selatan Thailand dapat dikeluarkan,” katanya.

Seorang lagi ejen nikah hanya mahu dikenali sebagai Amri,45, berkata, ejen nikah sudah mengira segala kos untuk membawa pasangan Malaysia termasuk sedikit keuntungan hasil usaha mereka menbantu urusan perkahwinan.

“Memang kos yang ditetapkan Majlis Agama Islam Wilayah Narathiwat rendah, tetapi kami yang membawa pasangan dari Malaysia masuk ke Selatan Thailand,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN