TANGGAL 13 Februari setiap tahun merupakan detik bersejarah bagi semua penyampai radio dan sesiapa sahaja yang berkhidmat dalam industri penyiaran itu.
Sejarah radio di Malaysia bermula pada 1921 apabila seorang jurutera elektrik kerajaan Johor, Al Birch membawa set radio pertama ke negara ini sebelum penubuhan Radio Malaya yang disiarkan dari Singapura pada 1959.
Hingga detik ini, radio terus memainkan peranan penting sebagai medium utama dalam menyampaikan maklumat, hiburan dan pendidikan kepada rakyat.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dalam hantarannya di aplikasi X sempena Hari Radio Sedunia menzahirkan penghargaan kepada semua petugas radio yang sentiasa memberikan komitmen luar biasa dalam memastikan penyampaian maklumat berkesan.
Menurutnya, radio bukan sekadar medium hiburan, malah berperanan besar dalam menyebarkan ilmu dan memperkukuh perpaduan dalam masyarakat.
“Sejak dahulu hingga kini, radio kekal relevan sebagai saluran komunikasi yang mampu menjangkau pelbagai lapisan masyarakat termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Radio harus terus menjadi ejen penyatuan tanpa mengira latar belakang, budaya atau fahaman dan bukan menjadi pemisah dalam masyarakat.
“Di era digital ini, radio juga mengalami evolusi dengan kemunculan platform siaran dalam talian dan aplikasi penstriman audio, sekali gus membuktikan ia masih relevan dan mampu menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi,” katanya.
Dalam kenyataan itu juga, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu turut berharap industri radio terus berkembang dengan inovasi baharu dan kekal sebagai medium yang dipercayai serta dekat di hati rakyat.
Pada masa sama, penyampai radio popular merangkap Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd. Majid atau DJ Lin berkata, dalam arus pemodenan hari ini yang penuh dengan perisian digital dan dunia penstriman, pastinya terdapat cabaran yang terpaksa dilalui sesebuah stesen radio.
“Bagi memastikan pendengar masih setia untuk mendengar radio, hubungan antara stesen radio dan pendengar memainkan peranan penting
“Selain menghubungi kami melalui media sosial, bagi saya cara yang amat digalakkan adalah bersemuka sesama pendengar dan tenaga kerja stesen radio di mana-mana penganjuran acara yang diadakan oleh stesen radio,” katanya.
Tambah DJ Lin, selain berdepan cabaran untuk kekal relevan, terdapat juga penggunaan kecerdasan buatan (AI) pada masa kini yang mula digunakan untuk mengikut peredaran zaman.
“Tidak dinafikan AI memang sudah tiba masa untuk digunakan bagi kebaikan pelbagai pihak.
“Meskipun AI mampu membantu dalam pemikiran kritis, tetapi kurang berkesan dalam menerapkan kreativiti yang lebih kepada kemahiran semula jadi daripada manusia yang bergelar penyampai radio,” katanya.














