fbpx
AMIR NAFIS menggunakan elemen teknologi seperti YouTube untuk mendalami watak yang dipegang dalam lakonan.

Amir Nafis cari rujukan dalam talian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

APABILA mendapat naskhah filem Dajal, Satu Malam Dipedajal (DSMD), dirinya amat teruja untuk mempelajari dan mendalami watak yang ditetapkan untuknya.

Dengan menggunakan gajet, dia mencari pelbagai rujukan dalam talian untuk mainkan watak utama filem arahan sutradara Pierre Andre itu dengan berkesan.

Kongsi pemain peran utama DSMD, Amir Nafis, 33, dunia teknologi amat membantu pelakon untuk mendapatkan rujukan hanya di hujung jari.

“Watak kali ini amat berbeza dengan naskhah yang pernah saya terima sebelum ini dan ia juga sangat mencabar kerana saya memainkan watak sebagai seorang pembersih tempat kejadian jenayah.

“Selepas menerima watak ini, saya terus mencari pelbagai rujukan dalam talian seperti di laman video YouTube dan juga media sosial untuk memahami watak seperti dalam kehidupan seharian,” katanya ketika ditemui K-Tekno pada Majlis Malam Gala DSMD di Dadi Cinema, pusat beli-belah Pavillion, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambahnya, secara tradisional mendalami watak seumpama itu sedikit sukar kerana rujukan kepada individu tidak mudah.

Kongsinya lagi, teknologi sudah menjadi pemudah cara bukan sahaja buat dirinya tetapi semua pelakon yang mana rujukan watak hanya boleh dicari di hujung jari.

Bercerita tentang pengalaman dengan gajet, Amir memberitahu, dia bukanlah seorang celik teknologi tetapi masih mengikuti perkembangan terkini dari masa ke masa.

“Saya boleh dikatakan agak lewat terdedah dengan teknologi, malah hanya memiliki telefon bimbit sendiri, hadiah daripada ibu pada usia 14 tahun.

“Saya masih ingat, telefon pertama saya adalah jenama Sony Ericsson skrin hitam putih dan itu juga paling lama saya guna sebelum beralih ke telefon bimbit berwarna, kemudian ke telefon pintar,” ujarnya.

Tuturnya lagi, dia juga tidak banyak mempunyai kenangan dengan teknologi, namun apa yang paling diingatinya adalah konsep menghantar mesej menerusi sistem pesanan ringkas (SMS).

Jelasnya, pada ketika itu, SMS adalah cara bermesej yang utama dan ketika itu tiada aplikasi permesejan seperti Whatsapp juga sosial media.

“Kenangan hantar mesej itu paling saya ingat, kita perlu tekan kekunci (key pad) banyak kali untuk dapatkan huruf dan jumlah perkataan juga terhad.

“Memang kalau boleh mahu hantar mesej perlu seringkas mungkin dan panjangnya tidak sampai dicaj berganda,” katanya.

Dari segi permainan video pula, Amir mengakui bahawa dia bukanlah peminat gajet-gajet itu seperti abangnya.

Namun, dia masih ingat pernah memiliki sebuah peranti fiksyen dalam francais animasi, Digimon yang pada ketika itu sangat popular.

Katanya, dia juga terjebak trend membela peliharaan digital, Digimon dalam peranti tersebut sekadar suka-suka.

“Saya dari dulu tidak mempunyai minat mendalam tentang gajet atau teknologi tetapi memilikinya sekadar untuk keperluan diri.

“Teknologi memang penting tetapi perlu digunakan dengan bijak dan pada masa sama jangan terlalu leka hingga melupakan dunia luar,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN