fbpx
NUR IZZATY (dua dari kanan) gagal menahan perasaan ketika berada di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Rembau semalam.

‘Suami sugul, macam tidak mahu balik’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

REMBAU – “Saya memang nampak, dia balik tu, dia memang sugul, memang nampak dia macam tidak mahu balik. Dari Isnin, dia kata mahu balik, selepas itu Selasa.”

Demikian ujar Nur Izzaty Abd Jalil, 35, isteri Allahyarham Muhammad Taqiyyuddin Zulkifli, 35, yang maut selepas melanggar tayar ganti sebuah pacuan empat roda (4WD) Toyota Hilux yang ‘terbang’ dari arah bertentangan di Kilometer 232.1, Lebuh Raya Utara-Selatan, arah utara, di sini semalam.

Menurutnya, dia berasa sebak kerana sebelum kepulangan arwah itu, suaminya seolah-olah tidak mahu pulang ke Johor sana.

“Sepanjang cuti, dia membawa kami bercuti selama seminggu di Johor dan saya juga tidak sangka, percutian itu merupakan percutian terakhir kami,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Rembau, di sini semalam.

Katanya, ketika kejadian arwah suaminya itu dalam perjalanan pulang ke Johor untuk bekerja di Singapura setelah bercuti kira-kira dua minggu sempena Tahun Baharu Cina.

“Selalunya, suami akan sampai dalam tempoh dua jam setengah dari Sungai Buaya ke Johor. Suami bawa superbike. Dia memulakan perjalanan pukul 10.30 malam dan kebiasaannya, dia akan hantar pesanan sudah selamat sampai ke destinasi.

“Saya tunggu pesanan suami sehinggalah saya hantar pesanan kepada suami pada pukul 2.17 pagi, tapi tiada balasan. Ikutkan, tempoh itu suami sudah sampai di Johor. Saya tunggu balasan pesanan sehingga terlelap.

“Kira-kira pukul 5 pagi, bapa mentua saya yang tinggal tidak jauh dari rumah datang dan memaklumkan suami terbabit dalam kemalangan maut.

“Saya segera mengikuti bapa mentua ke Hospital Rembau dan tiga anak kami berusia empat hingga tujuh tahun masih tidur, saya tinggalkan mereka bersama emak saya.

“Mereka semua masih tidak mengetahui bapa mereka maut dalam kemalangan,” katanya.

SHAIK ABD. KADAR (kanan) serta pegawai penyiasat menunjukkan tayar ganti sebuah trak pikap yang meragut nyawa Muhammad Taqiyyuddin di Rembau semalam. – NOR AINNA HAMZAH

Katanya, sejak berkahwin pada 2016, mereka suami isteri merupakan pasangan jarak jauh (PJJ) kerana suami menetap di Johor serta bekerja di Singapura, manakala dia menetap di Ra­wang, Selangor.

“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), suami tidak bekerja selama dua tahun kerana telah diberhentikan kerja, kemudian dia kembali bekerja di Si­ngapura pada 2022.

“Bagaimanapun, sejak PJJ, suami paling lama tidak pulang ke rumah adalah selama dua minggu sahaja kerana seboleh-bolehnya setiap minggu arwah akan pulang ke Selangor pada hari Jumaat,” katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Rembau, Superintendan Shaik Abd. Kadar Shaik Mohamed berkata, nahas lima kenderaan tersebut membabitkan bas jenis Scania, sebuah lori jenis Hino membawa muatan habuk kayu mampat, Toyota Hilux, kereta mewah jenis BMW serta motosikal jenis Honda CBR ditunggang Muhammad Taqiy­yuddin.

“Siasatan awal mendapati, bas itu dalam perjalanan dari Singapura menghala ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur dan ketika tiba di lokasi, bas itu telah melanggar bahagian belakang lori yang berada di lorong kiri.

“Perlanggaran itu telah menyebabkan kedua-dua kende­raan hilang kawalan lalu terbabas ke lorong kanan. Toyota Hilux dan BMW yang berada di laluan yang sama tidak sempat mengelak lalu melanggar belakang lori.

“Akibatnya, tayar ganti Toyota Hilux telah tercampak ke laluan bertentangan dan dilanggar oleh motosikal yang sedang bergerak di lorong kecemasan,” katanya di sini semalam.

Ujarnya, penunggang motosikal yang parah di bahagian kepala telah disahkan maut oleh pegawai perubatan yang tiba di lokasi kejadian.

“Pemandu bas iaitu lelaki berusia 36 tahun patah tulang pinggul, manakala seorang penumpang bas iaitu perempuan berusia 27 tahun mengalami kecederaan di bahu kanan.

“Pemandu lori, pemandu Hilux dan pemandu BMW masing-masing lelaki berusia 55, 27 dan 26 tahun tidak mengalami kece­deraan.

“Namun, seorang penumpang 4WD iaitu seorang lelaki berusia 26 tahun cedera melecet di dada. Seorang lagi penumpang 4WD sama berusia 24 tahun iaitu pelajar lelaki sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) luka di dahi dan telinga kanan berdarah,” katanya.

Ujarnya, dua penumpang perempuan dalam kereta BMW berusia 26 tahun mengalami kecederaan sakit bahu dan hidung berdarah.

“Semua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Rembau dan pemandu bas dihantar ke Hospital Alor Gajah, Melaka untuk rawatan lanjut.

“Mayat penunggang motosikal dihantar ke Unit Forensik Hospital Rembau untuk dibedah siasat,” katanya.

Menurutnya, punca kejadian ialah bas melanggar bahagian belakang lori dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pe­ngangkutan Jalan (APJ) 1987. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN