IPOH – Permukaan jalan tar yang panas menarik perhatian gajah yang digunakan haiwan liar tersebut untuk memanaskan badan.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff berkata, jalan raya merupakan antara kawasan gajah berkeliaran, bahkan haiwan itu boleh berjalan sejauh 60 kilometer (km) hingga 80km sehari.
“(Perjalanan) gajah-gajah ini boleh berulang dari negara kita (Malaysia) ke Thailand,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini baru-baru ini.
Yusoff menasihati orang ramai terutama pemandu kenderaan agar tidak membunyi hon sekiranya bertembung dengan kawanan gajah kerana dikhuatiri membahayakan nyawa mereka.
“Gajah takut dengan bunyi hon kerana akan berasa terancam. Begitu juga dengan tindakan membaling mercun,” katanya.
Jelasnya, sebanyak 50 hingga 60 ekor gajah dikenal pasti di negeri ini yang sering terlibat dengan konflik dengan manusia terutamanya di kawasan kampung dan kebun.














