DILAHIR dan dibesarkan di Toronto, Kanada serta terpengaruh dengan tukang gunting rambut terkenal dari Amerika Syarikat membuatkan jejaka ini jatuh cinta dengan bidang penggayaan ‘mahkota’ insan itu.
Bagi Haziq Dzulkarnain Roslan, 22, minat tersebut telah membawanya kepada haluan kerjayanya ketika ini iaitu sebagai jurugaya rambut di sebuah syarikat ternama di Selangor.
Berkongsi kepada K-Kampus, Haziq memberitahu, dia mula memotong rambutnya sendiri dan orang lain sejak usianya 15 tahun kerana minat mendalam.
“Maka selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya nekad untuk menyambung pengajian di Faculty of Hairtistry Academy di Petaling Jaya, Selangor yang mengambil masa selama enam bulan.
“Ketika itu sijil kemahiran (zero to pro) yang saya peroleh selepas tamat pengajian dikeluarkan dan disahkan oleh L’oreal, syarikat ternama antarabangsa.
“Kenapa saya memilih belajar di situ kerana saya dapat pelajari secara mendalam tentang rambut dari segi segi biologi, kemahiran teknikal dan visualisasi.
“Selain itu, tenaga pengajar dan pemilik akademi, Bambang Soteto yang sangat mendalami bidang hairstyling juga tidak lokek menurunkan ilmu yang dibawa pulangnya dari Jerman dan United Kingdom sebelum itu,” katanya panjang lebar.

Meneruskan perkongsian, anak bongsu daripada dua beradik itu memberitahu, dalam program yang diambil mempunyai empat level course (aras kursus).
Jelasnya, dia bermula dengan aras 0 hingga 2 dan kemudian perlu bekerja selama tiga tahun di mana-mana kedai gunting rambut untuk sampai ke aras 3 dan seterusnya yang terakhir iaitu 4.
Beritahu Haziq, selepas berjaya menamatkan pengajian selama enam bulan dan memperolehi sijil profesional, dia mendapat tawaran kerja di Haikunst Salon sebelum berpindah ke tempat sekarang, Hairchitect Studio di Petaling Jaya.
Berkongsi cabaran sebagai jurugaya rambut, jejaka ini mengakui kepercayaan terhadap diri diri sendiri sering menjadi penghalang terbesar.
Hal ini katanya kerana skeptikal dan persepsi masyarakat terhadap kerjaya sebagai barber atau hairstylist di Malaysia tidak seindah pekerjaan lain.
“Maka dengan itu, terdapat pelbagai pandangan berbaur negatif daripada keluarga terdekat, kawan-kawan termasuk cikgu-cikgu di sekolah dulu. Pun begitu, saya malas dan enggan ambil pusing dengan kata-kata itu. Saya tetap kerja keras dari awal sampai berjaya banggakan keluarga dengan kerjaya ketika ini,” katanya.

Ditebak adakah berbaloi dengan apa yang dilakukan ketika ini, Haziq bersyukur kerana dia mampu menyara kehidupan hasil pendapatan sebagai stylist.
“Alhamdulillah ketika ini saya dapat hidup dalam keadaan yang selesa.
“Hasil daripada ilmu dan pengalaman selama ini menjadi perangsang dan kekuatan untuk saya teruskan kehidupan serta berbangga dengan kerjaya yang dimiliki,” ujarnya yang boleh diikuti di media sosial menggunakan akaun @haziqcutshair.
Tambah Haziq yang juga pernah menata gaya rambut selebriti terkenal negara seperti Janna Nick, Izzue Islam dan Dini Schatzmann, dia menanam hasrat bergelar tukang gunting rambut terkenal di Malaysia suatu hari nanti.
Selain itu, dia juga mahu membuka kelas sendiri yang mana bertindak sebagai tenaga pengajar dan berkongsi ilmu mengenai rambut terutama melibatkan aspek visualisasi.














