fbpx
Seorang pekerja menyusun pakaian sekolah ketika tinjauan di sebuah kedai di ibu negara semalam.

Online lebih murah, kedai baju sekolah lengang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Tidak sampai sebulan sesi persekolahan 2025/26 akan bermula pertengahan bulan depan, golongan ibu bapa pasti ligat membuat persiapan membeli barangan kelengkapan sekolah anak-anak.

Tinjauan Kosmo! di beberapa kedai dan gedung pakaian di ibu negara mendapati persiapan ‘Kembali ke sekolah’ tidak semeriah dahulu apabila ramai ibu bapa memilih untuk berbelanja secara dalam talian kerana tawaran harga murah selain kemudahan per­khidmatan ‘beli dahulu, bayar kemudian’.

Jumlah pengunjung di kedai-kedai secara fizikal juga berkurangan, malah ada premis yang lengang dan tiada pelanggan dalam tempoh sejam.

Seorang pekerja premis dikenali sebagai Zetty, 38, berkata, tiada lagi fenomena ibu bapa menyerbu kedai untuk membeli barangan sekolah anak-anak berbanding lima tahun sebelum ini.

Dia yang sudah bekerja selama 11 tahun mengakui golongan ibu bapa kini semakin bijak berbelanja dan memilih kaedah paling menjimatkan termasuk untuk membeli kelengkapan sekolah.

“Sebelum ini, setiap kali cuti sekolah memang ramai yang serbu kedai sehingga terpaksa dihadkan bilangan pelanggan dalam satu-satu masa.

“Sejak pandemik Covid-19, orang ramai sudah terbiasa membeli dalam talian berban­ding datang ke kedai. Jadi jumlah pelanggan tidak semeriah dahulu,” kata­nya ketika ditemui semalam.

Seorang lagi pekerja, Aini Azhar, 24, memberitahu, walaupun cuti sekolah sudah bermula hujung minggu lalu, namun bilangan pengunjung yang membeli kelengkapan sekolah tidak ramai, berbanding dua tahun lepas.

“Kalau ada pun hanya pada hujung minggu. Pada hari biasa memang lengang. Mungkin tawaran harga murah di platform e-dagang membuatkan orang ramai memilih membeli secara online.

“Tambahan pula mereka tidak perlu keluar rumah, lagi-lagi ke ibu negara jalan sesak dan ba­nyak masa dihabiskan atas jalan. Beli online lebih jimat,” katanya.

Dalam pada itu, tinjauan Kos­mo! turut mendapati barangan kelngkapan sekolah yang dijual di platform e-dagang jauh lebih murah berbanding kedai fizikal.

Harga satu set pakaian termasuk baju, seluar, tudung, ka­sut, beg dan stoking bagi seorang murid adalah RM150 hingga RM200 di kedai fizikal.

Bagi pelajar sekolah mene­ngah, set pakaian lengkap iaitu baju, seluar, tudung, kasut, beg dan stoking mencecah RM230.

Namun, semakan di platform e-dagang mendapati set pakaian sama bagi murid sekolah rendah boleh diperoleh pada harga RM100 hingga RM130 termasuk kos penghantaran.

Bagi pelajar sekolah mene­ngah pula, set pakaian lengkap terdiri daripada enam barangan keperluan utama dijual serendah RM160.

Jadi golongan ibu bapa dapat berjimat sekurang-kurang RM80 untuk seorang anak.

Tawaran itu sekali gus memberi peluang kepada pengguna untuk berjimat terutama­nya pada musim kembali ke sekolah apabila banyak harga istimewa atau diskaun tambahan ditawarkan penjual dalam talian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN