fbpx
Tindakan segelintir pelajar universiti yang ingin memenuhi keinginan diri sehingga membuat pinjaman peribadi menerusi platform e-dagang hanya merisikokan mereka dengan bebanan hutang. – GAMBAR HIASAN

Mahasiswa pinjam duit e-dagang joli luar negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Keinginan untuk memenuhi kepuasan diri menyebabkan ada segelintir pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) terjebak dengan beban hutang pada usia muda melalui pinjaman peribadi yang ditawarkan oleh platform e-dagang.

Lebih membimbangkan apabila permohonan pembiayaan tersebut dapat dilakukan dengan mudah tanpa memerlukan syarat ketat sehingga membuka ruang kepada sesiapa sahaja termasuk mahasiswa untuk mendapatkan pinjaman peribadi.

Difahamkan, perkhidmatan itu bagaimanapun hanya ditawarkan kepada pelanggan yang mempunyai rekod pembelian yang baik melalui platform e-dagang tersebut.

Mendedahkan kepada Kosmo! Ahad, seorang pelajar IPT swasta dikenali sebagai Shahir, 25, berkata, dia terjebak untuk membuat pembia­yaan pinjaman peribadi dari sebuah platform e-dagang hanya kerana ingin melancong ke Indonesia pada November tahun lalu.

Kata Shahir, permohonannya itu hanya memerlukan tempoh selama 24 jam sebelum diluluskan oleh syarikat pengendali e-dagang berkenaan.
“Saya hanya tahu mengenai perkara ini selepas ternampak iklan di media sosial. Pada mulanya, saya ingin cuba sahaja, tetapi tidak sangka pula syarikat e-dagang tersebut meluluskan permohonan saya.

“Memandangkan saya juga belum be­kerja, saya hanya isi maklumat ringkas termasuk mengenai pekerjaan dan jumlah gaji,” katanya.

Shahir berkata, platform tersebut hanya meluluskan pembiayaan berjumlah RM1,500 dengan tempoh pembayaran ansuran selama 12 bulan.

Bagaimanapun, Shahir mengakui menyesal dengan tindakannya yang terlalu mengikut hawa nafsu apabila dia kini dibebani dengan hutang dan komitmen bulanan meskipun belum lagi mempunyai pekerjaan.

Katanya, dia kini terpaksa menggunakan wang pinjaman pengajiannya yang berjumlah RM2,600 bagi satu semester untuk membayar semula pinjaman tersebut.

“Selepas buat pengeluaran, baru saya sedar kadar ‘bunga’ yang dikenakan agak tinggi iaitu 18 peratus. Jadi, satu bulan saya perlu bayar RM147.

“Lepas tolak rumah sewa, duit minyak motosikal dan makan harian, memang saya akui agak terbeban. Ada masanya terpaksa ikat perut untuk bayar hutang,” katanya.

Seorang pelajar jurusan perubatan dikenali Yana, 24, berkata, dia juga terjebak memohon pembiayaan yang sama hanya semata-mata ingin membeli-belah dan memenuhi kepuasan diri.

“Sebelum ini saya selalu guna perkhidmatan buy now pay later (BNPL) tetapi aplikasi itu ada had yang ditetapkan.

“Kalau pembiayaan peribadi ini, saya boleh buat pengeluaran ke dalam akaun bank sendiri dan boleh gunakannya pada bila-bila masa,” katanya.

Setakat ini, kata Yana, dia sudah membuat pengeluaran sebanyak RM1,800 sejak akhir tahun lalu.

Sementara itu, seorang pelajar dikenali sebagai Ainur, 21, berkata, dia membuat pinjaman peri­badi melalui platform e-dagang untuk bercuti bersama rakannya bagi menyambut sambutan ambang tahun baharu.

Bagaimanapun, Ainur menga­kui pinjaman yang disangka ‘menguntungkan’ itu hanya memberi kesan kepada kehidupannya.

“Pembiayaan yang saya terima tidak banyak, hanya RM1,000. Masalahnya, saya sendiri tidak ada pinjaman pendidikan kerana semuanya ibu bapa yang tanggung.

“Sekarang ini saya terpaksa cari kerja sambilan pada hujung minggu sebagai ‘promoter’ atau apa sahaja yang boleh buat duit lebih untuk buat pembayaran balik pinjaman berkenaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN