BACHOK – Penduduk Mukim Beris Lalang Gong di sini, mengalami kerugian ribuan ringgit apabila ternakan mereka mati akibat dibaham anjing liar yang mengganas di kawasan itu.
Mereka mendakwa, dua perangkap kecil yang dipasang oleh pihak berkuasa tempatan tidak mampu untuk menangkap berpuluh-puluh ekor anjing liar yang semakin membiak.
Penternak di Kampung Gong Nibong Hilir, Sudin Loman, 61, berkata, dia kerugian lebih RM4,000 apabila ternakan kambing biri-birinya mati kelmarin.
Menurutnya, dua ekor biri-biri import yang baru dibeli hasil tabungan wang menjual ubi kayu mati pada pukul 7 pagi apabila sekumpulan anjing berjaya menceroboh masuk ke dalam kandang.
“Anjing yang datang dari pusat pelupusan sampah berdekatan dianggarkan berpuluh ekor. Ia berkeliaran mencari makanan di beberapa kampung.
“Haiwan itu turut membaham anak lembu dan ayam. Perangkap tidak berkesan,” katanya.
Mudir Maahad Tahfiz al-Quran Darul Islah, Md. Ghazali Husin berkata, kesemua 45 ekor ayam kampung yang diternak untuk menampung dana pondok turut mati kelmarin.
“Ada yang tinggal kepala dan kaki, manakala sebahagian lagi mati bergelimpangan sekitar reban,” katanya.
Kamarizan Fauzi pula menggesa pihak berkuasa bertindak segera kerana ia turut mengancam keselamatan penduduk.














