KUALA LUMPUR – Seorang bekas gengster mendedahkan tidak semua penjenayah yang menjalani hukuman penjara akan terus insaf selepas bergelar banduan.
Remy, 38, berkata, biarpun ada antaranya yang telah beberapa kali dipenjara namun kerana status banduan itu dipandang tinggi dalam dunia gengster menyebabkan ada antara mereka kembali melakukan jenayah.
“Gelaran ‘banduan’ itu satu tiket untuk ada pengikut baharu, dunia kami berbeza, lagi kau diburu, budak baru anggap kau layak jadi ketua sebab nampak ‘merbahaya’.
“Ada yang perlu lebih lama dipenjara, lebih kerap diburu polis, lebih berat hukuman baru nampak jalan untuk berubah, ada yang sekali dua rasa tercabar dan terus hanyut membuat dosa,” katanya.
Bercerita lanjut, seorang lagi bekas gengster, Aswad, 43, memberitahu, dia semakin berani bergerak solo untuk membuat jenayah selepas bebas dari penjara.
Katanya, tempoh dua tahun di dalam penjara memberi peluang untuk dia belajar pelbagai kemahiran lain daripada ‘penghuni’ lain.
“Bila masuk penjara, yang ada dalam itu bukan sahaja dari satu bidang jenayah. Contoh kalau kita terkait dengan aktiviti pecah rumah, mereka yang di dalam (penjara) adalah penjenayah yang aktif dengan kegiatan pecah gudang, peti besi dana dan macam-macam.
“Duduk dalam buat kawan, berkongsi pandangan dan ilmu, bila bebas bukan terus insaf malah orang seperti kami rasa dunia penjara seperti ‘universiti’. Kalau kami masuk penjara, lepas bebas pun makin pandai,” katanya.
Kata Badri, 42, pengalaman lapan kali dimasukkan ke lokap bagaikan tidak memberi apa-apa kesan sebelum ini, bahkan menjadikan dirinya lebih ‘berkuasa’.
“Pernah masuk lokap lapan kali, termasuk dipenjara dua kali. Ketika itu ada timbul rasa ‘bangga’ maklumlah jiwa masih muda. Tambahan, rasa hormat daripada geng yang sama lapangan bertambah selepas itu,” katanya.
















