PONTIAN – Kira-kira 1,000 penduduk di Taman Datuk Hajjah Fatimah Salim dan Kampung Parit Makuasang, Benut, di sini bimbang laluan utama ke kampung berkenaan mungkin terputus akibat hakisan air yang mengalir merentasi jalan berkenaan.
Mereka mendakwa aliran air dari Sungai Benut yang melalui jalan tersebut telah menyebabkan berlaku runtuhan kecil semasa fenomena air pasang besar yang berlaku baru-baru ini.
Seorang penduduk, Md. Azhar Tahir, 43, berkata, runtuhan kecil tersebut perlu diperbaiki segera bagi mengelakkan ia menjadi lebih besar apabila kawasan tersebut sering dinaiki air.
Katanya, jalan tersebut merupakan jalan penduduk taman keluar ke bandar Benut bagi menghantar anak-anak ke sekolah dan juga penduduk yang membeli barangan keperluan harian.
“Begitu juga dengan penduduk Kampung Parit Makuasang yang berhampiran dengan taman ini juga menggunakan laluan untuk keluar pada setiap hari,”katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Kata Md. Azhar, kebimbangan penduduk bertambah kerana jalan tersebut turut dilalui oleh kenderaan berat seperti lori yang membawa keluar hasil-hasil pertanian dan sebagainya setiap hari.
“Kami berpendapat bahagian bawah jalan tersebut merupakan laluan air yang menyebabkan berlakunya runtuhan sedikit demi sedikit,” ujarnya lagi.
Seorang lagi penduduk, Abdul Hakim Ali Mohd, 32, berkata, jalan tersebut baru siap dibina tiga tahun lalu merupakan kemudahan infrastruktur asas bagi penduduk yang berpindah ke Taman Datuk Hajjah Fatimah Salim pada tahun 2023 lalu.
Katanya, penduduk meminta supaya dibina satu jambatan kecil atau dipasang pembentung di kawasan tersebut bagi memudahkan aliran air dari Sungai Benut melaluinya tanpa menjejaskan struktur jalan.














