fbpx
RAFIS (kanan) menunjukkan cara pemakaian jaket serta peralatan keselamatan sebelum melakukan aktiviti air di kawasan rekreasi Sungai Sedim di Kulim baru-baru ini.

Jemur jaket keselamatan untuk tahan lama

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KULIM – Jaket keselamatan perlu kerap dilakukan pemeriksaan agar alatan penting tersebut mampu mengapungkan penggunanya ketika berdepan situasi kecemasan semasa melakukan aktiviti riadah dan sukan air.

Seorang pengusaha aktiviti berkenaan, Rafis Yahya, 35, dari syarikat Abe Rafter di sini berkata, jaket keselamatan adalah pe­ralatan yang amat penting setiap kali mahu melakukan sebarang aktiviti sukan air dan ia menjadi talian hayat pemakainya.

“Bagi memastikan jaket keselamatan sentiasa dalam keadaan yang baik serta mampu bertahan lama, ia perlu melalui penjagaan yang sempurna.

“Ketahanan jaket keselamatan bergantung kepada jenis material yang digunakan untuk membuat jaket keselamatan itu. Kebiasaannya jika jaket keselamatan itu diperbuat daripada material yang berkualiti tinggi, maka ia lebih tahan lama dan harga juga tinggi berbanding yang biasa,” katanya ketika ditemui di kawasan rekreasi Sungai Sedim, di sini baru-baru ini.

Jelasnya, kebiasaannya jaket keselamatan boleh bertahan antara lima hingga 10 tahun bergantung kepada kualiti sesuatu barang itu serta cara penggunaan dan penjagaan.

“Cara penjagaannya ialah sentiasa memeriksa jaket keselamatan agar tidak koyak kerana ia akan merosakan span yang berada di dalamnya.

“Bagi kami setiap kali selepas aktiviti dilakukan kami akan memeriksa jaket keselamatan dan akan menjemurnya di tengah panas bagi memastikan ia kering sepenuhnya selepas digunakan agar ia boleh tahan lama,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan menukar jaket keselamatan yang rosak serta menggantikan yang baharu sekiranya keadaan jaket keselamatan itu sudah tidak sesuai lagi digunakan.

Jelasnya, aktiviti riadah dan sukan air di kawasan rekreasi Sungai Sedim, di sini mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi menjamin keselamatan peminat sukan air itu ketika beriadah.

Katanya, yang sudah lebih lima tahun berpengalaman dalam aktiviti sukan air di Sungai Sedim memaklumkan, pengusaha yang berpengalaman mengetahui SOP yang perlu dilakukan setiap kali mahu turun ke sungai.

“Antara SOP ialah memeriksa peralatan yang akan digunakan ketika menjalankan aktiviti seperti bot pelampung, kayak dan jaket keselamatan, selain keadaan cuaca, arus serta paras air sungai. Jika cuaca tidak mengizinkan, aktiviti akan dibatalkan.

“Sebelum melakukan aktiviti air kami akan melakukan ujian keyakinan di air (water confident) bagi memastikan tahap keyakinan dan keselamatan dipatuhi setiap peserta,” katanya.

Menurut Rafis, dalam ujian keyakinan di air, pihaknya akan memeriksa jaket keselamatan yang dipakai peserta mengikuti arahan yang diberi.

Katanya, jika ada pertandi­ngan atau apa-apa program melibatkan peserta yang ramai, pihak agensi keselamatan akan datang memantau serta memeriksa pe­ralatan yang digunakan supaya dalam keadaan baik.

Menurut sumber Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, semua operator atau pe­ngendali perkhidmatan seperti pemilik bot, agensi pelancongan dan operator rekreasi air bertanggungjawab memastikan jaket keselamatan yang diberikan kepada pelanggan berada dalam keadaan baik.

Katanya, pemeriksaan perlu dilakukan secara berkala untuk memastikan peranti pengapu­ngan peribadi (PFD) masih berfungsi dengan baik dan meme­nuhi standard keselamatan.

“Mereka boleh lakukan audit dalaman atau pemeriksaan berkala terhadap peralatan ke­selamatan yang disediakan mereka.

“Sebagai pengguna juga perlu memeriksa keadaan jaket ke­selamatan sebelum memakai­nya. Perhatikan tanda-tanda kerosakan seperti koyakan, buih apungan yang pecah, atau tali pengikat yang longgar,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN