NARATHIWAT, THAILAND – Beberapa pengasas produk atau lebih dikenali dengan istilah ‘founder’ masih menunggu untuk penyanyi wanita tersohor Kelantan yang ditangkap bersama 6,000 biji pil kuda di sebuah hotel di Sungai Golok dekat sini pada 1 November lalu untuk menyanyikan lagu mereka.
Penyanyi berusia 28 tahun itu berkata, sebelum ditahan bersama lima lagi individu, dia sudah bersetuju bekerjasama dengan beberapa pengasas produk untuk terlibat dengan pemasaran barangan.
Menurutnya yang terkenal dengan lagu Bey Sobar Bey, dia menerima maklumat bahawa pengasas produk tersebut masih menunggu untuk bekerjasama dengannya selepas ini.
“Ada yang masih menunggu saya untuk menyanyikan lagu produk mereka selepas saya dibebaskan daripada tahanan. Saya sangat terharu apabila mereka masih menyokong saya.
“Buat masa ini, saya tidak dapat meneruskan sebarang kerjasama dengan mereka. Lagi pun, tiada lagu baharu yang saya dapat buat semasa di dalam tahanan.
“Saya menyanyikan lagu Bey Sobar Bey sahaja sekiranya diminta oleh tahanan-tahanan lain kerana ia popular di sini. Saya tidak terfikir untuk terlibat dengan projek lagu baharu. Biar saya jalani tempoh tahanan di sini dahulu,”katanya ketika menerima lawatan beberapa pemberita di Penjara Wilayah Narathiwat di sini semalam.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang penyanyi wanita tersohor Kelantan antara enam individu yang ditahan oleh pihak polis Thailand bersama 6,000 biji pil kuda dalam serbuan di Genting Hotel di sini pada 1 November lalu.
Kesemua suspek termasuk tiga wanita berusia antara 25 hingga 34 tahun tersebut ditahan di sebuah bilik hotel selepas selesai berhibur di pusat hiburan di bahagian bawah hotel tersebut. – KOSMO! ONLINE
















