fbpx
Meskipun terpaksa berjauhan dengan anak, cinta dan kasih sayang Suhaida tidak pernah pudar.

Suhaida ‘berkorban kasih’ di tengah samudera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TATKALA masih ramai sedang diulit mimpi, wanita kental ini sudah pun bersiap untuk ke tempat kerja. Seawal dinihari, dia sudah bangkit untuk memulakan tugas hariannya sebagai seorang jurutera lapangan di lautan.

Sebagai jurutera lapangan, antara tugasan Suhaida Jamaludin ialah memberikan khidmat ‘wireline’. Khidmat ‘wireline’ merujuk perkhidmatan dan kerja-kerja menggunakan kabel khas untuk dimasukkan ke dalam telaga minyak atau gas.

Antara skop tugas termasuklah mendapatkan data maklumat telaga minyak, memeriksa kondisi integriti telaga minyak yang sudah lama, membantu mengeluarkan sumber minyak dan gas daripada bahan letupan sehinggalah terbabit dengan bahan-bahan radioaktif nuklear.

Rutin berisiko itu telah dilakukan Suhaida, 33, sejak lapan tahun lalu. Kisah kecekalannya yang terpaksa berkorban meninggalkan suami dan anak untuk menunaikan tugasan di tengah laut di luar negara itu pernah disorot majalah beberapa tahun lalu.

“Ketika ini saya ditugaskan di Moomba, Australia selama lebih sebulan bagi memberikan khidmat ‘wireline’ kepada klien.

“Ada masa dan ketika, saya dan team terpaksa menempuh perjalanan ke telaga minyak selama enam hingga lapan jam tanpa akses internet.

“Situasi sedemikian memaksa kami bergantung dengan peta buku dan radio ‘walkie talkie’ ketika perjalanan konvoi dilakukan,” kata ibu kepada seorang cahaya mata itu kepada Aura ketika dihubungi menerusi talian WhatsApp.

Suhaida akui tugasnya amat berisiko dan bukan semua individu mampu berdepan cabaran yang menguji fizikal dan mental itu. Pun begitu, bagi anak jati Felda Jengka 23, Pahang ini, dia menyahut cabaran tersebut kerana begitu meminati kerjaya sebagai jurutera di lautan.

Menurutnya, sepanjang tempoh hampir sedekad kerjayanya, dia sudah berkhidmat dengan pelbagai syarikat besar dan ternama di luar negara termasuk Thailand, Brunei, Norway dan yang terbaharu di Australia.

Suhaida bersama suami dan anaknya.

Kongsi Suhaida yang merupakan lulusan Sarjana Sains (Pendidikan Kejuruteraan) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), setiap kali berada di tengah lautan, apa yang selalu diingatinya ialah anak lelakinya yang kini berusia empat tahun.

“Tiap kali berada di laut, anaklah perkara pertama yang terlintas di fikiran. Pada masa sama, anak jugalah jadi pemangkin untuk saya terus bersemangat meneruskan kerjaya ini.

“Nama pun lautan. Memang tak sama macam kita berada di darat. Laut dalamnya kita tak boleh jangka. Begitu juga dengan tahap gelombang dan kelajuan angin di lautan,” ungkapnya.

Ditanya tentang pembabitannya dalam kerjaya itu, Suhaida berkata, pemergian bapanya ketika masih menuntut di universiti menjadi pendorong dirinya mengubah nasib keluarga. Ibunya seorang suri rumah sepenuh masa dan perlu menyara dia dan adik-beradiknya yang masih belajar dengan duit pencen arwah bapa.

Dirinya ada membuat kajian pekerjaan yang menjanjikan gaji lumayan bagi kursus kejuruteraan mekanikal selain terbabit dengan karnival kerjaya.

Berbekalkan keputusan yang cemerlang, selepas graduasi, dia terus diterima bekerja sebagai jurutera lapangan di syarikat antarabangsa di Norway.

“Pada usia 26 tahun, saya diterima sebagai ‘international package’ yang ditanggung sepenuhnya syarikat seperti tiket kapal terbang dan tempat tinggal selama bertugas, selain menerima gaji melebihi lima angka.

Mencerita lanjut cabaran sepanjang terbabit dalam bidang ini, pelbagai halangan yang dihadapi kerana tugas ‘hands on’ memerlukan pengetahuan teknikal yang mendalam, terdedah dengan bahan letupan dan radioaktif serta memerlukannya bekerja di kawasan terpencil di tengah padang pasir.

“Ketika bekerja, saya perlu sentiasa fokus selesaikan masalah dalam masa yang efisien tanpa melakukan kesilapan kerana mengendalikan bahan letupan dan juga radioaktif.

“Selain itu, saya perlu bekerja antara 12 hingga 16 jam sehari dan memahami budaya rakan sekerja dari seluruh dunia termasuk Russia, Australia, Amerika Syarikat, Asia dan lain-lain,” katanya.

SUHAIDA mendepani cabaran kerjaya sebagai jurutera lapangan di laut pelbagai negara.

Jelas anak pertama daripada lima beradik ini, terpisah dengan keluarga tercinta di daratan bukan satu perkara mudah bagi seorang wanita yang menceburi bidang minyak dan gas sepertinya apatah lagi terpaksa berjauhan untuk tempoh yang lama.

“Paling lama saya pernah berjauhan dengan keluarga selama dua bulan pada 2021 ketika terkandas di perairan laut Malaysia selepas dunia dibadai pandemik maut Covid-19.

“Ketika itu saya baru saja melahirkan anak berusia empat bulan. Hampir setiap malam saya menangis kerana terlalu rindukan anak sehingga terfikir untuk berhenti kerja.

“Sebab itu, sepanjang bertugas dan jauh daripada mereka, saya akan pastikan dapat buat panggilan video. Lima minit sehari pun tak mengapa asal dapat menatap wajah dan mendengar suara.

“Tambah menyedihkan, saya juga pernah jalani kuarantin seorang diri di hotel selama 14 hari sebelum dapat bertemu keluarga,” katanya.

Ungkap Suhaida, dia berterima kasih dan bersyukur dikurniakan suami dan keluarga yang sentiasa menyokong dan memahami tugasnya. Hal tersebut juga membolehkan dirinya fokus 100 peratus ketika bekerja kerana keluarga dan suami banyak membantu bersama-sama menjaga dan membesarkan anak saat dia tiada di sisi.

Ditanya sejauh manakah kemahiran berenang atau menyelam diperlukan bagi individu menceburi kerjaya ini, Suhaida berkata, kemahiran berenang dan menyelam menjadi salah satu kemestian bagi mereka yang bergelar jurutera lapangan terutama di laut.

“Asas berenang kena ada dan macam saya alhamdulillah memang pandai berenang sejak remaja,” katanya.

Ditanya penglibatan kaum Hawa dalam sektor minyak dan gas masa kini, kata Suhaida, ia kian baik dan bagus.

“Saya sokong mana-mana wanita yang berani sahut cabaran kerja di pelantar minyak dan lautan tak kira jurutera, juruteknik, jurukimpal atau apa jua. Keberanian dan risiko yang kita hadapi semasa kerja tak semua orang dapat lalui dan rasa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN