fbpx
Gambar hiasan

Jel ‘ajar’ bapa culas bayar nafkah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Ramai bekas suami yang culas membayar nafkah anak-anak selepas bercerai didapati mampu melunaskan ‘hutang’ itu dalam tempoh singkat kepada bekas isteri kerana takut dipenjara apabila kes dibawa ke mahkamah syariah.

Ketua Hakim Syarie Selangor, Datuk Mohammad Adib Husain berkata, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun kepada individu yang gagal membayar nafkah tersebut.

“Undang-undang ada memperuntukkan jika bekas suami tidak membayar nafkah, bekas isteri boleh membuat saman penghutang penghakiman sehingga boleh menyebabkan bekas pasangan mereka dikenakan penjara.

“Jumlah kes untuk dipenjarakan tidak begitu banyak, namun perkara itu serius kerana melibatkan tanggungjawab diri kepada Allah.

“Mereka (bekas suami) akan segera membayar (nafkah) apabila diarahkan mahkamah kerana tidak sanggup berada di tirai besi,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Mohammad Adib memberi­tahu, kebanyakan lelaki berani berbuat demikian apabila bekas isteri sendiri tidak sanggup membiarkan bekas suami dipenjara selain kurang pengetahuan mengenai hak mereka selepas diceraikan.

Menurutnya, hukuman penjara sebenarnya akan membuatkan bekas suami gentar sebelum bersungguh-sungguh mengumpul wang bagi membayar tunggakan nafkah tersebut.

“Perlu diingatkan, nafkah anak-anak ini juga menjadi tanggungan oleh kumpulan individu dalam konsep perwalian iaitu jika bapa tidak mampu, akan turun kepada datuk sebelah bapa dan adik-beradik lelaki bapa ke­rana ia adalah kewajipan mengikut hukum syarak,” ujarnya.

Kata Mohammad Adib, berdasarkan statistik, sebanyak 394 kes telah diperintahkan Mahkamah Syariah Selangor bermula Januari hingga Disember tahun lalu kepada mereka yang berdegil bagi melunaskan tunggakan nafkah kepada anak-anak.

Ujarnya, nafkah tersebut melibatkan perbelanjaan bulanan untuk keperluan harian anak-anak serta tahunan seperti yuran dan persiapan persekolahan dan hari raya.

“Bayaran nafkah bagi anak lelaki adalah sehingga umur 18 tahun atau tamat pendidikan di peringkat pengajian tinggi atau kolej, manakala wanita sehingga mereka berkahwin.

“Mereka (golongan bapa) mesti ingat bahawa nafkah anak-anak adalah tanggungjawab mereka walaupun telah bercerai dan menjadi hutang sekiranya gagal melunaskannya.

“Perintah membayar nafkah itu sebagai peringatan kepada golongan lelaki agar tidak menzalimi anak-anak mereka selepas berlakunya sesuatu penceraian dengan pasangan mereka,” katanya.

Pada 20 Disember tahun lalu, Mahkamah Rendah Syariah Hulu Terengganu menjatuhkan hukuman penjara 30 hari terhadap seorang buruh setelah didapati bersalah kerana gagal membayar nafkah anak-anaknya.

Hakim Syarie, Nik Mohd. Shahril Irwan Mat Yusof menjatuhkan hukuman itu setelah Diang Ghani, 52, didapati bersalah kerana gagal melunaskan pembayaran nafkah anak-anak sebanyak RM11,000 kepada bekas isterinya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN