MANCHESTER – Manchester United kini boleh dikatakan berdepan ‘hidup dan mati’ untuk menjamin tempat secara automatik ke pusingan kalah mati saingan Liga Europa berdepan Viktoria Plzen di Doosan Arena awal pagi esok.
The Red Devils ketika ini tidak berada pada landasan tepat apabila tewas dua perlawanan berturut-turut dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), 0-2 kepada Arsenal dan 2-3 di tangan Nottingham Forest.
Kini, pertemuan menentang wakil Republik Czech itu perlu menjadi platform terbaik buat pemain-pemain United kembali menemui prestasi sebenar sebelum bertemu seteru setempat, Manchester City untuk aksi EPL di Stadium Etihad tiga hari kemudian.
Pengurus United, Ruben Amorim pastinya berharap tiada sebarang kesilapan mudah dilakukan oleh anak-anak buahnya dalam misi merakam tiga mata sekali gus melonjak ke kelompok lapan teratas daripada kedudukan ke-12 carta Liga Europa ketika ini.
“Semua orang tahu United adalah kelab yang hebat. Jadi pemain-pemain perlu lebih mempercayainya kerana anda sendiri dapat melihat banyak perkara positif berlaku sejak kebelakangan ini.
“Ia adalah mustahil untuk menang EPL tanpa pasukan yang tidak mahu berlari. Anda boleh senaraikan pemain terbaik di dunia dalam kesebelasan utama tetapi tanpa berlari, pasukan anda tidak akan menang.
“Inilah sedang saya terapkan dan saya percaya ia boleh diatasi kerana mereka ini adalah atlet profesional,” kata Amorim.
Setakat ini, United hanya mampu menang dua dan seri tiga kali daripada lima perlawanan dengan baki tiga aksi selepas ini perlu menentang Plzen, Rangers dan FCSB. – AGENSI














