PETALING JAYA – ‘Saya lebih suka menggunakan santan segera berbanding santan segar yang lebih mahal malah suka diperoleh di pasaran’.
Itu antara luahan suri rumah Suraya Ahmad, 39, ekoran kesukaran mendapatkan santan segar di kawasan rumahnya kerana bekalan terhad dan sering kehabisan stok.
“Kalau hendak dapat bekalan santan segar saya perlu ke pasar tetapi ia menjadi kekangan masa jadi, santan segera selalu jadi pilihan kerana ia mudah dibeli di pasar raya.
“Seingat saya kali terakhir beli santan segar di pasar sekitar dua bulan lepas dan harga untuk sebiji kelapa pada ketika itu adalah RM4 sebiji,” kata ibu kepada dua orang cahaya mata itu.
Sementara itu, seorang pengusaha kuih-muih, Nurhayati Mohd. Isa, 41, turut terkesan dengan situasi tersebut apabila dia perlu membeli di pasar borong bagi mendapatkan bekalan dan harga yang lebih rendah.
“Sebagai peniaga kuih-muih saya perlu guna banyak santan iaitu sekitar tiga hingga empat kilogram (kg) santan segar bergantung kepada tempahan kuih.
“Harga santan segar sekarang sekitar RM10 hingga RM11 untuk 1kg berbanding dulu sekitar RM8 hingga RM9 bagi 1kg,” katanya.
Antara kuih-muih yang dihasilkannya seperti seri muka, kuih lapis, onde-onde dan kuih koci.
Katanya, bekalan kelapa segar juga mula berkurang sejak Deepavali baru-baru ini.
Sementara itu, Nurhayati memberitahu, bukan sahaja harga santan yang mahal tetapi kenaikan harga tepung juga memberi tekanan peniaga sepertinya.
Sementara itu, seorang peniaga kedai runcit, Ariff Ahmad, 35, berkata, hampir seminggu lebih dia kekurangan bekalan kelapa segar untuk dijual di kedainya.
“Sebelum ini saya jual lebih 100 biji sehari tapi sekarang dapat hanya 50 biji,” katanya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan harga santan dijual dengan harga RM14 hingga RM20 kg sejak bulan ini berbanding harga sebelum ini RM9 hingga RM15.















