fbpx
DUA pekerja sedang memarut kelapa untuk menghasilkan santan di sebuah gerai di Pasar Moden Seksyen 6, Shah Alam baru-baru ini.

Kelapa RM3 sebiji, santan cecah RM14 hingga RM20 sekilo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pelbagai ru­ngutan diterima daripada peniaga berikutan harga sebiji buah kelapa kini yang mencecah RM3 sebiji sehingga harga santan segar terpaksa dijual kepada pengguna antara harga RM14 hingga RM20 sekilogram.

Berdasarkan rungutan diterima, Kosmo! melakukan tinjauan dan hasil temu ramah peniaga di beberapa negeri mendapati berlaku kekurangan bekalan kelapa sehingga memaksa mereka menaikkan harga santan.

Di Shah Alam, tinjauan di Pasar Moden Seksyen 6 mendapati, kekurangan bekalan kelapa parut menyebabkan harganya berubah dua kali dalam tempoh seminggu sejak bulan lalu.

Akibatnya ramai peniaga mengalami kerugian malah harganya meningkat kepada RM2.70 sebiji pada Isnin minggu lalu berban­ding RM2.20 sehari sebelumnya.

Seorang peniaga, Helmi Karim, 65, berkata, rata-rata peniaga mengeluh ekoran saiz buahnya yang kecil hingga menyukarkan peniaga mendapatkan kuantiti isi kelapa bagi proses santan.

“Saya memerlukan kira-kira tujuh biji bagi memperoleh sekilogram santan berbanding sebelum ini kira-kira empat biji. Kebanyakan stok diperoleh dari Bagan Datuk, Perak.

“Saya mengambil kira-kira 3,000 biji seminggu. Kalau kelapa yang diimport dari Indonesia boleh mencecah RM3 sebiji. Sebelum ini pendapatan hari biasa adalah RM600 namun sekarang hanya sekitar RM60. Semuanya sebab saiz kelapa yang kecil dan ini sungguh ‘sakit’ kepada peniaga kelapa parut,” katanya.

Helmi yang telah 31 tahun berniaga santan memaklumkan, tahun ini adalah paling mencabar bagi peniaga kelapa parut.

“Rungutan itu selalu diterima daripada pelanggan namun itulah realitinya. Kita cuba elak menaikkan harga terlampau tinggi asalkan dapat pulang modal buat masa kini,” ujarnya.

Perkara sama turut diakui seorang lagi peniaga, Mohd. Azizi Suliman, 45, apabila banyak peraih menjual kelapa tidak matang yang usianya kurang dari tiga bulan.

“Saya menjual 1kg santan pada harga RM17 berbanding tempat lain telah meningkat kepada RM20.

“Sekarang ini stok kelapa sama seperti ayam sebelum ini yang belum capai usia matang asalkan bekalannya masih ada dalam pasaran,” dakwanya.

Di Kota Bharu, seorang peniaga di Kampung Jambu Merah Melor, Mohamad Zakaria, 67, berkata, harga santan di kedainya naik kerana dia membeli kelapa diimport dari Indonesia melalui Johor.

“Buah kelapa yang sampai ke Kelantan sudah cecah harga RM3.50 sebiji. Saya pula memerlukan stok kelapa antara 1,000 hingga 2,000 biji seminggu.

“Ketika ini, saya terpaksa jual santan kepada pelanggan tetap sahaja. Keadaan ini agak menghimpit peniaga kerana ada sesetengah premis terpaksa tutup perniagaan mereka kerana tiada bekalan,” katanya.

MOHD. FARHAN membungkus santan untuk dijual di Pasar Pulau Melaka, Kota Bharu semalam. – ROHANA MOHD. NAWI

Katanya, dia difahamkan terdapat peniaga terpaksa mengimport kelapa dari Thailand.

Seorang peniaga santan di Pasar Pulau Melaka, Mohd.Farhan Mansor, 28, berkata, harga santan naik hampir sebulan lalu kerana kelapa yang dibeli da­ripada pembekal RM3 sebiji.

“Saya terpaksa membeli kelapa import dari Indonesia kerana di Kelantan bekalan terputus sejak sebulan lalu. Hari ini saya menjual 1kg santan RM15 berbanding sebelum ini RM10.

“Sebelum ini saya beli kelapa dengan harga RM1.80 tetapi kini RM3 sebiji. Itu yang menyebabkan harga santan naik,” katanya selain menambah rata-rata pe­langgan terkejut dengan kenaikan itu.

Di Kuala Terengganu, Seorang peniaga, Abdullah Ibrahim, 42, mendakwa, harga sebiji kelapa yang dibekalkan kepada para peniaga kini berharga RM3.

“Awal bulan ini, bekalan yang diperolehi dari Hulu Terengganu cuma RM2.30 sebiji sebelum naik RM2.70 seminggu kemudian.

“Mahu tidak mahu harga 1kg santan terpaksa dinaikkan RM14 berbanding RM12 pada awal bulan ini. Secara purata, saya guna 400 biji kelapa bagi jualan santan setiap hari,” katanya.

Seorang lagi peniaga, Moha­mad Ali Awang, 49, berkata, dia terpaksa menjual lebih banyak kuantiti saiz santan sebagai pilihan kepada pengguna.

“Sekarang saya jual 120 gram dengan harga RM2, 220 gram pula RM3, 380 gram untuk RM5 dan RM14 untuk sekilogram.

“Memang kasihan dengan pembeli sebab ramai merungut harga santan semakin mahal namun apa boleh buat, kami juga tersepit de­ngan keadaan ini,” katanya.

SEORANG peniaga santan menunjukkan buah kelapa yang dibeli dengan harga tinggi tetapi sudah rosak di Taman Ria Jaya, Sungai Petani baru-baru ini.

Di Sungai Petani, seorang peniaga di Taman Ria Jaya yang mahu dikenali Azhar berkata, harga kelapa mula naik sejak pertengahan Oktober lalu hingga dia terpaksa menjual 1kg santan RM16 berbanding RM14 sebelum ini.

“Harga untuk kelapa parut pula dijual RM14 berbanding RM11 sebelumnya. Sebelum ini kami membeli sebiji kelapa dalam anggaran RM1.50 berbanding sekarang yang mence­cah antara RM2.80 ke RM3 sebiji.

“Bagi mendapatkan 1kg santan kami memerlukan empat biji kelapa, dengan harga kelapa yang tinggi sekarang tidak menguntungkan kami,” katanya.

Menurut penjual di Taman Ria yang ingin dikenali Sarina pula, bekalan kelapa tempatan berkurang ketika ini menyebabkan buah itu terpaksa dibawa masuk dari Indonesia.

“Jika beli kelapa tempatan kita boleh pilih sendiri berban­ding kelapa Indonesia yang perlu dibeli secara pukal dan diurus pengedar.

“Sudahlah harganya mahal mencecah RM3,000 satu tan berbanding RM1,800 sebelum ini, kualiti buahnya juga tidak baik apabila memperoleh buah yang telah tumbuh, isinya nipis, ringan dan kecil menyebabkan kami terpaksa menaikkan harga santan dan kelapa parut,” ujarnya.

Katanya, disebabkan terpaksa menaikkan harga santan dan kelapa parut, dia kehilangan pe­langgan selepas mereka beralih menggunakan santan kotak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN