RANTAU PANJANG – Golongan ibu bapa dan pelajar terutama calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mula memohon pas sempadan susulan larangan merentas sempadan melalui pangkalan haram bermula Ahad ini.
Permohonan itu dibuat kerana bimbang terlepas pendidikan secara formal di sekolah selain gagal menduduki SPM.
Seorang ibu dikenali Rogayah, 42, yang tinggal di pekan Sungai Golok berkata, anaknya yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang di sini, memerlukan pasport atau pas sempadan untuk melalui Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang.
“Anak saya akan menduduki peperiksaan SPM pada awal Disember ini. Jika kami berkeras menggunakan pangkalan haram, mungkin dia akan ditahan sekali gus tidak dapat menduduki peperiksaan SPM nanti,” katanya.
Rogayah memberitahu, dia selepas ini perlu membonceng anaknya dengan motosikal sejauh lima kilometer dari Sungai Golok, Thailand untuk ke SMK Rantau Panjang pada setiap Ahad hingga Khamis dengan melalui ICQS Rantau Panjang.
Menurutnya, buat masa ini, anaknya itu masih menaiki bot merentas Sungai Golok melalui pangkalan haram Pohon Jambu di sini, yang sangat dekat iaitu hanya 800 meter dari kawasan sungai dengan tambang sehala RM1.

Sementara itu, seorang pelajar SMK Rantau Panjang yang mahu dikenali sebagai Zulaikha, 17, berkata, dia akan menduduki peperiksaan SPM pada 2 Disember ini bersama kira-kira 30 lagi rakannya yang menetap di Sungai Golok, Thailand.
“Saya tidak pernah ada pasport atau pas sempadan untuk melintasi sempadan Malaysia-Thailand dengan menyeberangi Sungai Golok sepanjang hampir 11 tahun bersekolah di Rantau Panjang.
“Kali ini saya perlu akur dengan arahan kerajaan dan perlu memohon pas sempadan secepat mungkin untuk masuk melalui ICQS Rantau Panjang,” katanya.
Seorang lagi penduduk yang mahu dikenali Derahman, 30, penguatkuasaan larangan merentas sempadan memberi kesan kepada keluarganya yang sudah beberapa generasi menyeberangi sempadan Malaysia-Thailand melalui pangkalan haram.
Menurutnya, rumah keluarga mentuanya terletak di Sungai Golok, Thailand dan dia sering berulang-alik melalui pangkalan haram Pohon Jambu di depan rumahnya.
“Selepas ini, saya perlu melalui jalan jauh kira-kira 15 kilometer sedangkan melalui pangkalan haram perjalanannya hanya lima minit sahaja,” katanya.
Seorang peniaga, Jamilah, 35, berkata, dia akan ke Sungai Golok setiap minggu untuk membeli barangan untuk perniagaan masakan panas.
“Saya masuk ke sana untuk membeli barang jualan sahaja dan terus balik pada hari yang sama. Jika pangkalan haram sudah tidak boleh dilalui, ia pasti akan menyukarkan pergerakan peniaga untuk membeli barangan,” katanya.














