Pakar motivasi kewangan, Dr. Niki Shuhadah telah menerima lebih 280 pengiktirafan sepanjang lebih dua dekad pengalamannya dalam bidang bimbingan dan kewangan dengan terkini bulan ini menerima BPW Women in Leadership & Best Coach 2024.

Dr. Niki Shuhada raih 280 anugerah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEKITAR 27 tahun lalu menjadi titik tolak kepada perubahan hidup wanita kental ini secara keseluruhan.

Daripada berkhidmat di atas awan biru selama tujuh tahun bermula 1990 bersama syarikat penerbangan nasional sebagai kru kabin, dia kembali ‘berpijak’ ke tanah untuk melakukan sesuatu yang berbeza.

Imbas Dr. Niki Shuhada Shukor, dia pada awalnya menceburi kerjaya pramugari kerana minat mengembara.

“Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia, saya melanjutkan pelajaran ke Australia pada awal tahun 1986.

“Usai pulang ke Malaysia, saya mencuba kerjaya sebagai pramugari atas minat saya yang suka mengembara dan melihat dunia luar.

“Kerjaya ini memberi peluang kepada saya untuk memahami kepelbagaian budaya dan kepentingan pengurusan masa,” imbas Niki Shuhada sebagai pembuka bicara bersama Aura.

Jelasnya, kerjaya itu juga membuatkannya berpeluang mengembara ke 99 buah negara di seluruh dunia sepanjang berkhidmat.

Pun begitu, manusia berubah dan kadangkala terpaksa meninggalkan sesuatu yang sudah dianggap selesa demi kebaikan atau suatu lebih baik.

Itu yang dilalui wanita berusia 56 tahun ini sekali gus menjadikannya kini seorang mentor serta pakar motivasi kewangan dan perniagaan disegani di negara ini.

“Titik tolak perubahan kerjaya saya pada 1997 berlaku apabila saya menyedari potensi diri dalam dunia keusahawanan dan keinginan untuk bantu orang lain mencapai kejayaan dalam kewangan dan perniagaan.

“Hal itu mendorong saya untuk mendalami ilmu bidang perniagaan dan kewangan serta memulakan perjalanan sebagai perunding kewangan.

“Masih jelas dalam ingatan, pada tahun 1997, saya bermula dengan menyertai syarikat amanah saham terkenal secara sepenuh masa sebagai perunding unit amanah dan menjadi mentor kepada pasukan,” katanya.

Anak jati Pulau Pinang dan dibesarkan di Kuala Kangsar, Perak ini memberitahu, atas keberanian dan usaha dicurahkan sepenuhnya sejak lebih dua dekad lalu, dia kini mampu tersenyum dengan kejayaan dimiliki.

Jelasnya yang meraih Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam Kepimpinan dan Latihan dari Universiti Newcastle, Amerika Syarikat pada tahun 2005, dia kini menerajui dan memimpin beberapa inisiatif perniagaan termasuk menjalankan sesi coaching dan private mentoring serta seminar.

Selain itu, dia juga aktif membimbing golongan wanita dan usahawan muda untuk berjaya dalam perniagaan melalui strategi yang berkesan dan holistik.

Niki mengendalikan program mentoring kepada peserta atau usahawan baharu.

Kecemerlangan dalam kerjaya yang dipilih juga terbukti apabila sehingga ke hari ini dia telah mendapat lebih 280 pengiktirafan.

Antaranya ialah Best In Mentoring and Coaching MBBA 2023; Best Transformation Coach in 2017 & 2019; Best GAM for Top Group Sales; Winner of ABLE Award 2021; Women of Excellence Award 2022; CIMB Wealth Advisors Brand Ambassador Master Builder Award & Lifetime of Fame dan terbaharu pada 9 November lalu BPW Women in Leadership & Best Coach 2024.

Akui Niki, di sebalik kejayaan dan segala pengiktirafan diterima, terselit 1,001 cabaran yang terpaksa ditempuh dan bukannya mudah datang bergolek.

Beritahu Niki Shuhada, pertamanya adalah keseimbangan antara kerjaya dan keluarga yang mana pengurusan masa sentiasa menjadi cabaran utama bagi wanita bekerjaya sepertinya.

“Kunci utama bagi saya adalah penentuan keutamaan dan perancangan masa yang rapi.

“Saya menggunakan jadual harian dan mingguan untuk merancang masa serta memastikan setiap tanggungjawab mendapat perhatian sewajarnya.

“Saya juga meluangkan masa berkualiti bersama keluarga dan anak-anak serta memastikan kerja pejabat yang boleh didelegasikan diserahkan kepada pekerja yang ditugaskan.

“Selain itu, saya meletakkan masa bercuti yang kerap bersama keluarga bagi memastikan masa kerja dan masa keluarga yang seimbang,” kata ibu kepada empat cahaya mata itu.

Diaju pandangan dari kaca matanya sendiri mengenai tahap kewangan kalangan rakyat di negara ini, Niki bersyukur kerana ada peningkatan kesedaran tentang pentingnya pengurusan kewangan, simpanan, pelaburan, takaful dan pengurusan harta pusaka.

“Namun, antara cabaran utama adalah budaya berbelanja melebihi kemampuan dan budaya tidak menyimpan secukupnya untuk persaraan.

“Saya percaya bahawa melalui pendidikan kewangan yang lebih meluas, rakyat Malaysia boleh mencapai tahap kestabilan kewangan dan persaraan yang lebih baik,” ujarnya.

Berkongsi perancangan lima ke 10 tahunnya, dia yang kini menerajui lima buah syarikat optimis merancang dan meluaskan jangkauan ke negara Asia Tenggara seperti Indonesia dan Singapura.

Selain itu, dia juga bercadang untuk memperkenal platform online learning bagi memastikan lebih ramai individu mendapat akses kepada modul latihan minda mereka.

“Di kesempatan ini, saya menjemput semua usahawan dan golongan profesional untuk sertai DNT Mastery Club saya yang terkini. Pendaftaran adalah percuma untuk akses latihan online minda dan pembangunan diri setiap bulan.

“Sertai juga Seminar Mind Shifting saya yang akan diadakan pada 24 November di Kuala Lumpur.

“Seminar ini direka untuk membantu peserta memahami cara mengubah pola pemikiran mereka untuk mencapai pelbagai kejayaan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN