Keunikan sejarah kebudayaan megalit di Semenanjung khususnya di Negeri Sembilan bukanlah sesuatu yang baharu, namun masih ramai yang tidak menyedari tentang nilai warisan budaya ribuan tahun itu.
Ada yang terbiar sepi, namun ada juga saksi bisu tersebut yang sudah pun didaftarkan sebagai Warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 oleh Jabatan Warisan Negara, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.
Perkara itu dikongsikan sendiri oleh Felo Kanan di Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Zuliskandar Ramli kepada K2 baru-baru ini.
Batu megalit ialah batu prabersejarah besar yang telah digunakan untuk membina struktur atau monumen, baik bersendirian atau dibina bersama dengan dengan batu-batu lain.
Ujarnya, batu megalit yang sangat istimewa adalah tinggalan di tapak megalitik Pengkalan Kempas, Negeri Sembilan.
“Kajian dan penyelidikan arkeologi megalitik di Semenanjung Malaysia pertama kali dilakukan oleh I.H.N Evans di tapak Pengkalan Kempas pada 1919.
“Ekskavasi turut mendapati bahawa lapisan tanah tidak menunjukkan sebarang kesan gangguan atau penerokaan.
“Namun begitu, terdapat kesan pembakaran yang ditemui.
“Secara keseluruhan, pentarikhan relatif tapak ini adalah sekitar abad ke-14 hingga 15 Masihi.
“Evans (1921) turut mendakwa, budaya di Pengkalan Kempas adalah sedalam dua kaki (0.6 meter) berdasarkan kesan pasir yang berbeza dengan lapisan atas,” katanya.

Ujarnya lagi, lokasi yang kini menjadi Kompleks Megalit Pengkalan Kempas itu turut menempatkan Makam Syeikh Ahmad Majnun iaitu seorang ulama yang menyebarkan syiar Islam pada zaman Kesultanan Melayu Melaka.
“Makam beliau dianggap salah sebuah makam Islam tertua di Malaysia.
“Morfologi batu yang wujud di Pengkalan Kempas ini juga unik kerana ia mempunyai megalitik berbentuk kemudi, sudu (payung) dan pedang (keris).
Menurutnya, kesemua imej berkenaan asasnya dapat dikaitkan dengan kepimpinan yang diwujudkan dalam bentuk perlambangan dan bagaimana pola hias tersebut mempunyai hubung kait dengan adat yang diamalkan oleh masyarakat di Negeri Sembilan.
“Hal ini kerana megalitik yang terdapat di Pengkalan Kempas adalah satu-satunya megalitik yang diukir dan dipahat dengan bentuk binatang, matahari/bulan dan terdapat perkataan Arab iaitu ‘Allah’ dalam huruf jawi,” ujarnya.
Dalam pada itu, Zuliskandar turut menegaskan kepentingan untuk mengekalkan tapak megalitik berkenaan kerana tinggalan batu tersebut berkait rapat dengan jati diri orang Melayu itu sendiri.
“Bukti kewujudan dan asal usul bangsa kita, selain bukti orang Melayu itu kaya dengan budaya serta adat istiadat seperti Adat Perpatih.
“Sebagai kelangsungan untuk memelihara tapak-tapak megalitik, kita perlu mengangkat tapak ini sebagai tapak warisan negara dan ditingkatkan potensi pelancongan,” katanya.
Menurut Zuliskandar, tinggalan tapak megalitik di negara ini terdapat pelbagai jenis.
Antaranya kubur kepingan batu yang banyak terdapat di Lembah Bernam, Selangor serta di kawasan Sungkai di Perak.
“Tinggalan batu megalit berupa ‘menhir’ yang ada kaitannya dengan Adat Perpatih ini asalnya dari Sumatera (Indonesia). Ia banyak terdapat di Negeri Sembilan, Melaka Johor, Pahang dan Terengganu, manakala Sabah pula terkait dengan budaya lokal.
“Batu megalit berbentuk menhir dan dolmen boleh didapati di Sarawak. Sehingga kini, terdapat lebih daripada 50 tapak yang terkait dengan batu megalit dan kebanyakannya ada di Negeri Sembilan,” ulasnya.

Berkongsi lebih lanjut, Zuliskandar menyatakan, dia telah menjalankan kajian batu megalit pada tahun 2015 di Pengkalan Kempas dan kemudiannya di tapak megalit Luak Tanah Mengandung.
“Kajian berkenaan kemudiannya diteruskan di tapak megalit di Luak Berundang dan Luak Wilayah Tunku Besar Tampin,” katanya.
Sementara itu, Megalit Datuk Nisan Tinggi di Repah, Tampin merupakan batu megalit tertinggi yang direkodkan di Negeri Sembilan iaitu sekitar lima meter sebelum ia patah.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Repah, Zaharudin Johan, batu megalit yang dikenali penduduk sebagai batu hidup pada masa dahulu dipercayai akan meninggi setengah inci pada setiap tahun.
“Berdasarkan cerita orang dulu-dulu, Megalit Datuk Nisan Tinggi ini merupakan salah satu daripada kubur tiga beradik yang datang membuka penempatan di sini dari Sumatera.
“Kemudiannya, berlaku krisis antara tiga beradik ini dan mereka berpisah. Kubur tiga beradik yang menggunakan batu megalit ini ada di sekitar kawasan berdekatan iaitu di Repah, Kampung Tanjung Pisang dan Kampung Orek.
“Selain batu tertinggi ini, terdapat sekitar 12 batu hidup lagi di sini dan menariknya, ada juga pihak yang berhenti untuk membaca sejarah di sini, selain merakamkan kenangan,” katanya.

Ujar Zaharudin lagi, sejarah batu berkenaan yang dikatakan bersinar apabila terkena suluhan pada waktu malam itu juga wajar diwarisi generasi akan datang kerana ia merupakan warisan kebudayaan di penempatan tersebut.
Bagi pewaris pusara lama yang menggunakan batu megalit yang ditemui di Kampung Pauh, Terachi, Awalludin Bidin, 72, menyatakan, batu yang terletak di halaman rumahnya itu pernah ingin dipindahkan ke Pengkalan Kempas.
“Namun, keluarga saya menolak tawaran tersebut kerana sayang serta mahu warisan ini kekal di sini.
“Batu megalit ini dipercayai batu sungai yang diambil sebagai tanda kubur. Batu ini boleh membesar serta pernah mencatatkan ketinggian kira-kira satu meter setengah,” katanya.
Menurut Zaharudin lagi, keluarganya berbesar hati apabila Lembaga Muzium Negeri Sembilan turut sama memulihara lokasi batu megalit itu.
“Malah, ramai yang singgah di sini untuk mengambil gambar dan tidak kurang juga batu megalit yang patah ini juga pernah dicuri.
“Bagaimanapun, saya amat berharap agar warisan ini akan terus kekal hingga bila-bila untuk tatapan generasi serta keturunan akan datang,” katanya.














