INDUSTRI perhotelan menjadi perhatian umum baru-baru ini selepas tular ciapan di laman X tentang tempoh waktu daftar masuk (check-in) dan keluar (check-out) yang dikatakan tidak masuk akal.
Muat naik daripada pemilik akaun, @netnetwok mengundang komen ramai warganet kerana terdapat sesetengah hotel mengenakan polisi mengarut dengan waktu check-in lewat serta check-out terlalu awal.
Situasi ini dikatakan menjadi punca pelancong tempatan lebih memilih untuk ke negara jiran, Thailand untuk bercuti berbanding menyokong pelancongan domestik.
Bagi membincangkan isu ini, wartawan Kosmo Ahad!, Ghazali Alias menemu bual pakar hospitaliti yang juga ahli akademik di Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara, Universiti Utara Malaysia, Prof. Madya Dr. Basri Rashid.
KOSMO! AHAD: Secara asasnya, adakah industri perhotelan di negara ini sudah pulih sepenuhnya seperti sebelum pandemik Covid-19 melanda dunia?
PROF. DR. BASRI: Industri perhotelan di Malaysia boleh dikatakan dalam proses pemulihan selepas pandemik Covid-19, apabila kita melihat semakin ramai orang bercuti ketika tiba musim perayaan atau cuti sekolah.
Dianggarkan 80 hingga 90 peratus hotel yang terkesan semasa pandemik beroperasi semula sama ada dengan nama asal atau dengan jenama lain.
Walaupun jumlah pelancong semakin meningkat, namun Persatuan Pemilik Hotel (MAHO) melaporkan purata peratusan penginapan adalah sekitar 60 peratus.
Sebilangan besar hotel yang ditutup sementara semasa pandemik, kini telah beroperasi dan beberapa hotel yang dahulunya ditutup sepenuhnya mula beroperasi di bawah pengurusan baharu dengan penjenamaan semula.
Sehingga kini, dianggarkan sejumlah 5,000 buah hotel pelbagai saiz dan bintang beroperasi.
Namun sekitar 1,011 hotel menjadi ahli Persatuan Hotel Malaysia (MAH), manakala 150 hotel menjadi ahli MAHO.
Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) pula mempunyai 1,800 keahlian.
Baru-baru ini, ada pihak merungut dengan tempoh menginap di hotel yang terlalu singkat iaitu kurang dari 23 jam terutamanya ketika musim cuti. Boleh Prof. ulas mengenai permasalahan ini?
Kebiasaannya, waktu daftar masuk ke bilik di hotel di Malaysia dan di seluruh dunia antara pukul 2 hingga 3 petang.
Sementara waktu daftar keluar ditetapkan antara pukul 11 pagi hingga 12 tengah hari. Secara umumnya, tetamu memperolehi sekitar 21 jam.
Pihak hotel memerlukan masa secukupnya supaya dapat menyiapkan bilik untuk tetamu lain dengan memberi perhatian kepada standard kebersihan, keselamatan, dan kualiti bilik yang optimum terutama selepas pandemik.
Pihak hotel dan tetamu seharusnya faham akan keadaan ini dan berkompromi sebaik mungkin terutamanya semasa waktu puncak dan musim percutian.
Sebenarnya, apakah kesulitan yang dihadapi oleh pihak hotel berhubung masalah ini? Berapakah jumlah pekerja yang bersesuaian mengikut taraf-taraf hotel bagi melicinkan operasi?
Terdapat beberapa perkara yang perlu diberi perhatian oleh pihak hotel. Pertama adalah pengurusan masa, pekerja pembersihan perlu menyiapkan bilik dalam waktu terhad sebelum tetamu baharu mendaftar masuk. Pekerja harus efisien, lebih-lebih lagi semasa musim puncak.
Kedua, banyak hotel menghadapi masalah kekurangan pekerja dan ini menyebabkan tugas pembersihan dan penyediaan bilik terganggu, seterusnya menjejaskan pengalaman menginap tetamu.
Ketiga, memenuhi standard kualiti pembersihan dalam usaha untuk menepati waktu, ada risiko bahawa standard pembersihan mungkin terjejas, terutama dalam konteks kebersihan pasca pandemik.
Keempat, koordinasi antara jabatan pendaftaran keluar dan penyediaan bilik memerlukan kerjasama yang baik, termasuk penyambut tetamu, pembersihan dan pengurusan bagi memastikan proses berjalan lancar.
Jumlah pekerja yang diperlukan di bahagian pembersihan bergantung kepada saiz, taraf bintang dan susun atur hotel berkenaan.
Secara umumnya, nisbah kakitangan kepada bilik adalah seperti hotel mewah (lima bintang), kira-kira satu kakitangan untuk setiap 10 hingga 15 bilik, hotel berkelas tinggi (empat bintang) sekitar satu kakitangan untuk setiap 15 hingga 20 bilik.
Bagi hotel sederhana (tiga bintang) pula, satu kakitangan untuk setiap 20 hingga 25 bilik dan hotel bajet boleh berkisar dari seorang kakitangan untuk setiap 25 hingga 30 bilik.
Pihak berkuasa telah mengarahkan para pengusaha hotel di negara ini untuk memastikan para tetamu boleh menginap sekurang-kurangnya 23 jam. Adakah saranan ini dilihat relevan?
Saranan menginap sehingga 23 jam dilihat tidak praktikal oleh pengusaha hotel demi menjaga standard dan keperluan masa untuk membersihkan bilik. Ini kerana mereka memerlukan masa untuk membersihkan bilik sebelum tetamu lain mendaftar masuk. Tempoh yang sangat singkat boleh menjejaskan kualiti kebersihan dan seterusnya keselesaan pengunjung.
Namun begitu, pihak hotel boleh memberi pertimbangan kepada tetamu untuk mendaftar keluar lewat atau mendaftar awal bergantung kepada situasi terutama pada waktu di luar musim puncak.
Hakikatnya, ramai tidak tahu tentang masa yang diperlukan untuk petugas hotel mengemas setiap bilik. Boleh Prof. beritahu berapa lama masa diambil untuk bilik dikemas dan keperluan yang perlu ditukar ganti?
Secara amnya, masa yang diambil untuk membersihkan sebuah bilik hotel adalah antara 20 hingga 30 minit bergantung kepada jenis bilik dan klasifikasi standard hotel.
Bilik yang lebih besar atau suite memerlukan lebih banyak masa.
Keperluan yang perlu ditukar atau dibersihkan bagi bilik mendaftar keluar terbahagi kepada beberapa perkara iaitu katil, sarung bantal dan cadar perlu ditukar dan dibersihkan.
Kemudian, tuala mandi, tuala tangan,dan tuala muka perlu diganti dengan yang bersih.
Sandal jika disediakan dan telah digunakan perlu dibersihkan atau diganti. Berikutnya, bahan kebersihan diri seperti sabun, syampu, perapi, dan barang keperluan mandi lain perlu ditambah atau ditukar baharu.
Bagi hotel yang menyediakan bar mini, ia perlu diperiksa dan diisi semula dengan minuman serta snek, manakala perabot serta kemasan bilik seperti meja, kerusi dan lain-lain perlu dibersihkan.
Sampah dalam tong sampah perlu dibuang dengan betul, lantai harus disapu atau vakum bergantung kepada jenis permukaan.
Akhir sekali, pemeriksaan peralatan bagi memastikan semua peralatan seperti televisyen, pendingin hawa dan lampu berfungsi dengan baik.
Sebelum ini, ada pihak merungut bahawa harga bilik hotel di negara ini lebih mahal berbanding di luar negara seperti Indonesia dan Hatyai, Thailand. Mengapakah perkara ini berlaku?
Terdapat beberapa faktor yang memungkinkan negara-negara tersebut menawarkan harga bilik yang lebih rendah.
Pertama, faktor persaingan pasaran yang sengit dalam kalangan hotel demi mendapat pelanggan.
Ini boleh membawa kepada tawaran harga lebih rendah.
Kedua, destinasi tertentu menarik lebih ramai pelancong dengan pusing ganti yang tinggi.
Ini membolehkan hotel mendapat tetamu biarpun menawarkan harga yang lebih rendah melalui skala ekonomi.
Ketiga, kos sara hidup serta kos operasi yang lebih rendah di destinasi tertentu membolehkan pengusaha hotel menawarkan harga bilik yang rendah tetapi masih menguntungkan.
Keempat, kepelbagaian jenis penginapan yang popular menawarkan pelbagai jenis penginapan, daripada hostel bajet hingga resort mewah yang menjurus kepada lebih banyak persaingan harga.
Sekiranya had gaji minimum pekerja dinaikkan menjelang Februari tahun depan. Bolehkah kita jangkakan bahawa akan berlaku kenaikan harga bilik hotel disebabkan kos operasi bertambah?
Jika had gaji minimum pekerja dinaikkan, peningkatan harga bilik dan lain-lain perkhidmatan hotel mungkin berlaku disebabkan oleh pertambahan kos operasi.
Kos tambahan langsung adalah upah pekerja (gaji) dan kos faedah sampingan seperti latihan, kesihatan dan sebagainya.
Secara umum, tiada angka tetap yang boleh dikenal pasti, tetapi jika disandarkan kepada peningkatan gaji mininum, kemungkinan kenaikan antara lima hingga 15 peratus boleh berlaku.
Namun, ia bergantung kepada situasi ekonomi dan persaingan dalam pasaran.
Kajian pasaran dan operasi yang mendalam perlu dilakukan bagi menentukan peratusan yang lebih tepat.
Ada pihak yang mencadangkan supaya caj bilik hotel ditawarkan pada harga berbeza bagi pelancong tempatan dan luar negara. Ini kerana, nilai mata wang sesetengah negara lebih besar daripada kita. Adakah cadangan ini dilihat relevan?
Cadangan ini memerlukan pertimbangan yang teliti dari beberapa aspek kelebihan dan kekurangan.
Antara kelebihannya, peningkatan permintaan domestik, di mana harga yang lebih rendah kepada pelanggan tempatan boleh meningkatkan kadar penginapan dan jualan.
Seterusnya, peningkatan keuntungan, jika pelancong luar dikenakan harga lebih tinggi atau mengikut nilai mata wang pelancong luar negara, sekali gus membolehkan hotel mengekalkan keuntungan.
Promosi pelancongan domestik juga boleh dilihat menerusi kadar harga rendah kepada pelancong tempatan yang dapat membantu merangsang industri pelancongan tempatan.
Dari segi kekurangan pula, isu ketidakadilan yang mana harga berbeza (lebih tinggi) boleh menyebabkan pelancong luar negara berasa tidak adil, sekali gus memberi kesan negatif kepada industri hotel negara.
Komplikasi pengurusan seperti mengurus dua struktur harga berbeza boleh merumitkan pengurusan tempahan, bayaran dan pemasaran.
Perundangan dan etika berkaitan perbezaan harga pula mungkin dilihat sebagai diskriminasi yang melibatkan isu undang-undang perniagaan yang memerlukan campur tangan pihak berkuasa.
Cadangan ini mungkin relevan dalam konteks tertentu.
Namun, jika pihak hotel ingin menarik ramai pelanggan, promosi seperti diskaun dan tawaran lain boleh digunakan secara efektif terutama bagi menarik lebih ramai pelancong domestik.
Penetapan harga mengikut status domestik atau antarabangsa dan mengikut kadar mata wang perlu diteliti oleh semua pemegang taruh.
Ia bagi memastikan tidak ada kesan negatif terhadap industri hotel serta pelancongan di negara ini secara keseluruhan.













