Kebanyakan pelancong yang mengunjungi rangkaian pulau peranginan Terengganu pada musim tengkujuh terdiri daripada peminat sukan luncur ombak. – Gambar hiasan

Surfing ketika ombak besar musim tengkujuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MARANG – Sebahagian pe­ngusaha resort dan chalet di pulau-pulau peranginan Terengganu mengakui mereka masih menerima tempahan dalam kalangan pelancong a­sing sepanjang tempoh Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula minggu depan.

Pengusaha Ombak Kapas Resort di Pulau Kapas, Hawa Abdul Rahman berkata, setakat ini, sebanyak 30 peratus daripada bilik penginapan ditawarkan di resortnya telah ditempah pada musim tengkujuh ini.

“Kebanyakan tempahan itu diterima daripada pelancong asing yang merupakan peminat sukan luncur ombak.

“Mereka mahu memanfaatkan ombak yang tinggi dan deras sepanjang musim tengkujuh ini untuk aktiviti berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kos­mo! di sini semalam.

Selain Pulau Kapas, sebahagian operator resort dan chalet di Pulau Redang, Kuala Nerus dan Pulau Perhentian, Besut juga bersedia membuka operasi pada tempoh MTL berlangsung sehingga Mac tahun depan.

Hawa berkata, biarpun masih membuka operasi pada skala kecil pada tempoh MTL ini, ke­selamatan pengunjung tetap diberi keutamaan dan sebarang pergerakan dan aktiviti air melibatkan tetamu akan bergantung kepada cuaca semasa.

“Bukan setiap hari di musim tengkujuh akan hujan dan laut bergelora. Kita akan memantau amaran cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) dari semasa ke semasa.

“Kita juga mematuhi setiap nasihat dan garis paduan ditetapkan pihak berkuasa bagi mengelak sebarang insiden tidak diingini,” ujarnya.

Penasihat Persatuan Pengusaha Resort dan Pelancongan Pulau Perhentian, Abdul Aziz Che Abdullah berkata, pengunjung pasti teruja kerana bercuti di Pulau Perhentian pada musim tengkujuh menawarkan pengalaman berbeza yang mengujakan.

“Memang aktiviti air se­perti selam skuba dan snorkling tidak dibenarkan tetapi Pulau Perhentian tidak akan pernah sunyi sepanjang tempoh itu,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN