PENGALAMAN hidup setiap orang adalah berbeza antara satu sama lain, bergantung kepada tempat lahir dan dibesarkan.
Seharusnya, kita menghormati pengalaman hidup orang lain dan menjadikannya ‘kompas’ dalam kehidupan.
Ambil sisi yang positif dan tinggalkan sudut negatif apabila seseorang itu berkongsi pengalaman hidupnya.
Kisah Mitos kali ini diceritakan seorang perantau yang berasal dari Utara dan kini bekerja dalam bidang pertanian di Tanjong Karang, Selangor.
Menurut Ismail Mat Ali, 52, peristiwa yang berlaku beberapa tahun lalu semasa bekerja mencari hasil hutan di sebuah daerah di Perak masih segar dalam ingatannya.
“Sebagai anak muda, macam-macam kerja saya sudah lakukan untuk mencari rezeki. Antaranya, kerja kontrak, ukur tanah dan mencari akar kayu.
“Semasa berumur 18 tahun, saya dan dua sahabat, Azman dan Ipin (bukan nama sebenar) pernah mengikut seorang pencari akar kayu di hutan.
“Pak cik yang saya panggil Apak ini rajin bercerita tentang perkara mistik semasa kami mencari rezeki di dalam hutan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Kata Ismail lagi, kadang-kadang, kisah yang diceritakan Apak tidak masuk akal.
Jelasnya, Apak pernah bercerita, dia pernah bertemu gadis bunian yang cantik berkebaya hijau sedang melintas sungai semasa mencari kayu gaharu di dalam hutan.
“Kita darah muda, bukan senang hendak terima setiap biji butir kata-kata orang tua yang berumur 55 tahun.
“Saya anggap cerita Apak itu ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.
“Mungkin Apak bercerita untuk menghiburkan saya dan dua kawan yang bosan kerana tidak menemui kayu dihajati,” katanya.
Kata Ismail, Apak tidak marah apabila mereka memperlekehkan cerita ‘dongengnya’ itu.
Ujarnya lagi, bagi sesetengah orang, sudah pasti akan mengamuk atau membentak jika pengalamannya tidak diperakui oleh orang lain.
“Paling tidak, Apak turut sama ketawa sehingga menampakkan gigi hadapannya yang rongak. Hujung ketawa, dia akan cakap, kena batang hidung sendiri baru tahu. Risau juga kami, takut mulutnya masin,” ujarnya.
Ismail memberitahu, tidak lama selepas Apak berkata sedemikian, mereka berhenti rehat untuk makan tengah hari.
Katanya lagi, matahari pada saat itu terpacak tegak di atas kepala, masing-masing diberi tugas untuk menyediakan makanan.
“Saya ditugaskan memasak nasi dan perlu ke anak sungai bersendirian untuk membasuh beras. Hari pun siang tiada apa yang perlu ditakutkan.
“Apa yang pelik, kawasan tebing sungai tersebut tidak banyak semak samun.
“Tengah membasuh beras untuk dimasak, saya terdengar suara wanita di sebelah kiri,” katanya.
Namun kata Ismail, tiada kelibat manusia atau haiwan kelihatan, mungkin mainan perasaannya semata-mata.
Semasa dalam perjalanan ke tempat kumpulannya berada, Ismail ternampak kelibat seorang wanita di balik semak samun sedang menunaikan solat dengan bertelekung putih.
“Saya masih tenang ketika itu kerana menyangkakan memang ada orang sedang solat zuhur. Hajat hendak mendekati, tetapi takut dianggap cubaan mencabul. Lalu saya segera berlari ke arah kumpulan bagi menceritakan penampakan wanita bersolat tadi,” jelasnya.
Apak dan kawan-kawan Ismail hanya ketawa apabila dia memberitahu ternampak perempuan tengah bersolat.
Jelas Ismail, ketika itu, dia bermati-matian menegaskan ada orang lain berada di kawasan hutan tersebut.
“Bagi membuktikan kata-kata saya itu benar, saya ajak Apak dan kawan-kawan untuk mengikut saya ke lokasi orang sedang bersolat tadi.
“Saya bernasib baik kerana ‘makhluk’ itu masih ada di situ.
“Apa yang mengejutkan kami, bukan manusia yang bersolat, tetapi pocong setinggi lebih satu meter,” katanya.
Jelas Ismail, semua orang dalam kumpulan itu melaungkan azan sehingga makhluk itu hilang dengan meninggalkan bau harum.
Apak yang pada mulanya turut cuak terus mengukir senyuman seperti menyindir Ismail dan kawan-kawannya.
“Apak sudah beritahu, jangan cakap takbur di dalam hutan ini. Bila Apak cerita, kamu semua ketawa.
“Ini kampung mereka, bukan kampung kita. Mungkin ada kampung bunian di sini sebab tempat ini berhampiran anak sungai,” ujar Apak.
Mengulas lanjut, Ismail berkata, selepas makan tengah hari di kawasan tersebut, mereka membuat keputusan untuk keluar dari hutan berkenaan.
Tambahnya, peristiwa tersebut menyebabkan dia lebih berhati-hati dalam berkata-kata, terutama semasa memberi reaksi terhadap pengalaman yang diceritakan oleh orang lebih tua.
“Apabila kena batang hidung sendiri, baru kita sedar betapa kecilnya kita berbanding kuasa yang Maha Esa.
“Jadi, hormatilah orang tua kerana mereka lebih dahulu makan garam daripada kita. Disebabkan peristiwa seram itu, lama juga saya tidak masuk hutan,” jelasnya sebelum menutup cerita.














