fbpx
SARAH SUHAIRI

Sarah Suhairi mahu genggam ijazah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Dalam lubuk hati yang terdalam, Sarah Suhairi masih menyimpan hasrat menyambung pengajian di menara gading. Bagi si genit berusia 20 tahun itu, bergelar seorang penyanyi profesional dan mempunyai pendapatan sendiri seawal usia 17 tahun adalah sesuatu yang tidak dijangka.

Dahulu, sewaktu menjuarai program BigStage pada 2018, Sarah masih berasa tidak yakin untuk meneruskan kerjaya sebagai anak seni. Ketika itu, dia pernah berkeras mahu menyambung pelajaran.

Namun, atas nasihat, ibu bapa, Sarah mengambil langkah besar menolak tawaran Diploma Ukur Bahan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak dan memulakan kerjaya sebagai artis rakaman.

 


SARAH Suhairi tidak mahu tamak mengejar semua perkara dalam satu masa. Sehingga kini, Sarah belum melupakan impiannya untuk bergelar siswazah seperti rakan-rakan seusia.

 

“Sehingga hari ini ini, saya masih menyimpan tarikh yang sepatutnya mendaftar di UiTM dua tahun lepas sebagai kata kunci telefon bimbit kerana perkara itu sesuatu yang sangat sentimental.

“Saya memang mahu menyambung pelajaran kerana mendapat kursus yang betul-betul diminati. Namun, orang tua berpesan kepada saya supaya tidak tamak jadi saya lepaskan dulu tawaran belajar buat sementara waktu,” katanya usai fotografi bersama HibGlam di Studio Ramza, Shah Alam, baru-baru ini.

Janji

Meskipun sehingga kini dia terasa ralat kerana pada usia 20 tahun, dia belum memiliki apa-apa ijazah atau diploma, Sarah memilih untuk kekal positif.
Katanya, dia yakin dengan niat yang betul, apabila tiba masanya pasti rezeki untuk menyambung pengajian akan tiba.

Apa yang penting bagi pelantun lagu Pedih itu, restu kedua-dua ibu bapanya yang tidak luak dalam menyokongnya kerjaya nyanyiannya.

 

Berada di luar negara sewaktu pandemik Covid-19 melanda mengajar Sarah untuk lebih peka terhadap kebersihan diri dan berwaspada dengan keadaan sekeliling.

 

“Saya akan sambung belajar, itu janji pada diri sendiri cuma tidak tahu bila. Mungkin saya akan menggenggam ijazah atau diploma sedikit lambat berbanding rakan-rakan seusia, namun tidak mengapa.

“Sekarang rezeki saya dalam bidang nyanyian dan alhamdulillah, saya sudah boleh belanja ibu bapa dan adik-adik menggunakan hasil titik peluh sendiri. Saya lihat itu juga sebagai satu daripada nikmat hidup,” tegasnya lagi.

Kurang yakin

Menyentuh perkembangan terkini selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) diumumkan, anak kelahiran Rawang, Selangor itu bersyukur kerana boleh kembali bekerja seperti biasa.

 

Sewaktu tempoh PKP, Sarah dan keluarga pernah menjalani kuarantin di rumah selama dua minggu apabila pulang dari menziarahi saudara di London pada hujung Mac. – MOHD. FARIZWAN HASBULLAH

 

Cerita Sara, sewaktu PKP fasa satu hingga tiga, dia banyak belajar hal teknikal berkaitan muzik di rumah seperti proses rakaman lagu di studio mini miliknya.

Dia juga mula berjinak-jinak menggubah muzik dan menulis lirik sendiri, namun masih tidak mempunyai keyakinan untuk dijadikan sebagai sebuah karya lengkap.

“Memang banyak lagu yang saya buat sendiri tetapi sekadar suka-suka.Buat masa sekarang, saya belum berani menyanyikan lagu-lagu ciptaan sendiri.

“Kalau suatu hari nanti saya nekad guna lagu sendiri pun, saya tetap akan minta pertolongan komposer berpengalaman untuk menambah baik lagu tersebut,” tuturnya sebelum menyimpul perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN