TASIK Pedu, Kedah yang kebiasaannya sunyi dan hanya menjadi ‘port’ kaki pancing, pencari hasil hutan serta aktiviti riadah di sebuah rumah bot di situ bertukar meriah setiap kali tiba musim kemarau panjang.
Ia berikutan kawasan dasar tasik yang dahulunya merupakan tapak perkampungan ‘timbul’ semula selepas air mengering dengan drastik sejak Julai lalu.
Kampung itu dikenali sebagai Kampung Mong Gajah ‘muncul’ bersama satu perkuburan Islam lama dipercayai berusia lebih 100 tahun.
Kampung Mong Gajah merupakan antara kira-kira 15 kampung yang ditenggelamkan bagi memberi laluan kepada pembinaan Empangan Pedu pada tahun 1960-an.
Tiada struktur lain yang dapat dilihat di tapak kampung berkenaan kecuali kira-kira 200 kubur yang masih utuh berbatu nisan serta beberapa telaga.
Fenomena unik yang biasanya berlaku empat tahun sekali itu menarik kunjungan ramai termasuk dari luar negeri ini.
Selain teruja apabila dapat melihat sendiri kawasan daratan yang pernah menjadi tapak perkampungan lama, rata-rata mereka juga terpukau dengan pemandangan tasik yang indah dan menakjubkan.
Kawasan tasik berkenaan berlatarbelakangkan bukit-bukau termasuk Gunung Fakir Terbang yang merupakan kawasan sempadan Malaysia-Thailand.
Gunung Fakir Terbang yang mempunyai ketinggian kira-kira 574 meter merupakan antara destinasi pendakian menarik di negeri Jelapang Padi ini.
Menurut penduduk kampung berhampiran, Kampung Pinang, Mohamad Shaari, 51, keadaan tasik yang mengering itu berlaku kira-kira empat tahun sekali selepas tahun 2020 dan semasa fenomena El Nino pada 2016.
“Namun kali ini, tempoh tasik kering agak lama dan lebih ramai orang berpeluang datang ke sini termasuk dari Johor dan Thailand untuk tengok tapak kampung lama bersama tanah perkuburan di sini. Kawasan ini jadi popular selepas ia mendapat liputan media serta tular di media sosial.
“Tasik mengering dengan drastik bermula Julai dan berlarutan sehingga Ogos, namun paras air tasik meningkat sedikit pada bulan ini disebabkan cuaca hujan yang agak kerap,” katanya kepada Panorama.
Jelasnya, mereka yang mahu masuk ke kawasan itu perlu melalui laluan tidak berturap sejauh kira-kira dua kilometer.
“Kenderaan boleh masuk sehingga ke kawasan berdekatan tanah kubur dan melihat pemandangan indah tasik dengan berlatarbelakangkan bukit bukau.
“Penduduk di sini juga mengambil kesempatan masuk ke sini untuk mencari siput lokan yang banyak pada musim kemarau ini,” ujarnya.
Dia bagaimanapun berharap agar paras empangan meningkat kerana bekalan air di situ penting untuk kegunaan domestik dan pengairan pertanian terutama sawah padi.
“Operasi pembenihan awan (OPA) pun ada dilakukan pada bulan lalu kerana paras takungan yang terus menurun, namun negeri ini sudah mula menerima hujan pada bulan ini,” katanya.
Ujarnya lagi, dia merupakan salah seorang ahli keluarga kepada penduduk yang pernah mendiami kampung lama tersebut.
“Saya dimaklumkan kebanyakan penduduk asal Kampung Mong Gajah berasal dari Pattani, Thailand. Mereka dikatakan berpindah keluar atas beberapa faktor termasuk bagi pembinaan empangan ini,” jelasnya.
Menurutnya, ramai waris yang berkunjung ke tanah perkuburan di situ dan mengadakan tahlil.
“Memang sayu dan sedih setiap kali ziarah kubur di sini. Kami hanya berpeluang menziarahi kubur ini sekali dalam tempoh empat tahun,” katanya.
Sementara itu, lebih 300 penduduk berhampiran mengadakan kenduri dan majlis tahlil berhampiran kubur lama tersebut pada 17 Ogos lalu.
Imam Kampung Tong Pelu, Mohamad Khori Idris, 58, berkata, majlis tahlil diadakan bagi mendoakan ahli keluarga serta nenek moyang penduduk yang disemadikan di situ.
“Alhamdulillah ramai yang datang menziarahi kubur lama ini semasa penganjuran kenduri dan majlis tahlil. Penduduk bergotong-royong memasak di tapak kampung lama ini dengan persediaan dibuat sehari sebelum itu,” katanya.
Menurutnya, antara menu masakan adalah kurma dan rendang kambing, gulai daging lembu, ikan lampam goreng, kerabu beka dan ulam-ulaman.
Seorang lagi penduduk, Ismail Mohd Daud, 62, berkata, meskipun dia berasa gembira kerana dapat berhimpun dengan sanak-saudara, namun hatinya tetap sayu mengenangkan arwah datuk yang dikebumikan di situ.
“Bapa saya iaitu Mohd. Daud Hassan sudah berusia 90 tahun dan pernah tinggal di Kampung Kuala berhampiran Kampung Mong Gajah. Bagaimanapun Kampung Kuala tidak pernah timbul sejak ditenggelamkan.
“Mengikut apa yang diceritakan, bapa beritahu dia dan keluarga berpindah dari kampung itu pada tahun 1955 kerana banyak kematian akibat penyakit misteri,” jelasnya.
Katanya, dia sekeluarga sentiasa mendoakan buat penduduk asal yang disemadikan di situ walaupun kawasan itu ditenggelami air semula.

“Inilah peluang untuk kami datang ziarah, selepas ini mungkin kena tunggu empat tahun lagi baru boleh datang ziarah kubur datuk,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Mohd. Sahbari Abdul Rahman, 56, berkata, dia hanya mendengar cerita tentang kampung yang ditenggelamkan itu daripada arwah bapanya, Abdul Rahman Mat Din dan orang tua yang tinggal di kampung berhampiran tasik.
“Saya difahamkan di dasar Tasik Pedu ini dahulunya ada tiga kampung dengan Kampung Mong Gajah terbahagi kepada dua iaitu di sebelah matahari naik dan matahari terbenam, manakala satu lagi adalah Kampung Kuala.
“Di kawasan perkampungan lama ini juga sebenarnya ada tiga kawasan perkuburan dan satu perkuburan yang timbul dan boleh diziarahi anak cucu empat tahun sekali,” katanya.
Ujarnya, berdasarkan cerita daripada orang tua, sebahagian penduduk termasuk nenek moyangnya berpindah keluar dari kawasan kampung itu kerana kejadian misteri sehingga mengakibatkan beberapa penduduk meninggal dunia.
“Selepas itu barulah kawasan perkampungan itu ditenggelamkan untuk dijadikan empangan,” katanya yang pernah menemui satu belanga besar dipercayai peninggalan penduduk asal di kawasan hutan dekat tasik berkenaan.
Katanya lagi, kebanyakan penduduk dari perkampungan lama itu berpindah ke kawasan kampung berhampiran seperti sekitar Pedu, Kampung Pinang, Belantik dan Nami.
Dalam pada itu, Siti Aishah Abdullah, 79, berkata, dia sempat tinggal di perkampungan lama di kawasan Tasik Pedu dan berpindah dari sana pada usia lapan tahun.
“Kawasan kampung itu memang jauh ke dalam menyebabkan penduduk terpaksa berjalan kaki meredah hutan selama sehari jika mahu ke kedai di Kampung Pinang, selain untuk membeli barang, berniaga atau bagi mendapatkan ubat di sana.
“Kalau ada yang meninggal dunia, terpaksa ambil masa kira-kira tiga hari untuk dikebumikan kerana penduduk perlu ke Kampung Pinang untuk mencari orang yang boleh menguruskan jenazah,” katanya.
Tambahnya, bagi mengelak jenazah berbau, penduduk akan menggunakan asap termasuk kemenyan.
“Jumlah penduduk di kampung itu tidak terlalu ramai dengan kebanyakannya mengusahakan bendang dan mencari hasil hutan,” katanya.
















