ALOR SETAR – Kejadian banjir minggu lalu meninggalkan kesan mendalam kepada seorang ibu tunggal kudung kaki kanan apabila ketika itu dia tidak berdaya menyelamatkan anak lelakinya yang menghidap cerebral palsy.
Menurut Suhada Suib, 37, dia menempuh detik cemas apabila rumahnya di Kampung Alor Merah di sini, dinaiki air sehingga paras pinggang dalam masa setengah jam sahaja.
Katanya, ketika kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, cuma tinggal dia dan anak kedua, Mohd. Afiq Ramadhan Abdullah, 9, di rumah kerana anak sulung, Mohd. Daniel Ashraf, 20, pergi ke pusat pemindahan sementara (PPS) untuk mendaftar nama mereka sekeluarga.
“Saya yang duduk di kerusi roda cuba memanjat naik ke atas katil untuk mengangkat anak.
“Namun saya tidak berupaya kerana air naik cepat, jadi saya terpaksa menjerit meminta tolong, nasib baik jiran sebelah masih ada di rumah,” katanya ketika ditemui di PPS Stadium Sultan Abdul Halim di Jalan Suka Menanti, di sini kelmarin.
Katanya, jirannya itu telah membantu memindahkan mereka ke tempat lebih tinggi.
Tambahnya, dia kehilangan kaki kanan pada paras paha akibat kencing manis dua tahun lepas dan dikategorikan sebagai orang kelainan upaya (OKU).
“Saya juga menghidap sakit buat pinggang dan bergantung hidup dengan anak sulung yang menyara keluarga dengan bekerja sebagai pembantu kedai,” ujarnya.














