DUA gol yang dihasilkan ketika membantu Johor Darul Takzim (JDT) mengikat Shanghai Port 2-2 pada aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Bola Sepak Pudong Rabu lalu nyata membuktikan Arif Aiman Hanapi berada pada kelab berbeza.
Dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) untuk saingan Liga Malaysia dalam tempoh tiga tahun berturut-turut nampaknya benar-benar membakar semangat penggempur Harimau Selatan itu membuktikan bahawa dia sememangnya benar-benar layak untuk memikul gelaran sebesar itu.
Dia sudah membuktikannya untuk aksi domestik, malah skuad Harimau Malaya terasa tempangnya jika nama Arif Aiman tidak tersenarai dan kali ini pemain berusia 22 tahun itu cuba mencuri perhatian Asia menerusi dua gol tersebut.
Ia sekali gus meletakkan nama Arif Aiman berada dalam kelompok penjaring terbanyak selepas dua perlawanan bersama empat lagi pemain lain.
Kehadiran Arif Aiman membuktikan bahawa bakat bola sepak negara tidaklah selekeh yang disangka dan semuanya bergantung kepada usaha individu itu sendiri.
Sebagaimana Arif Aiman, dia pastinya sudah meletakkan sasaran sejak hari pertama berada di JDT.
Malah, Arif Aiman dianggap cukup bertuah untuk mula menapak dalam bola sepak Malaysia bersama JDT serba serbi lengkap untuk membentuk sesiapa sahaja yang memiliki impian untuk menjadi pemain bola sepak berjaya dengan fasiliti, teknologi dan kualiti rakan sepasukan yang cukup sempurna.
Namun, tidak semua yang pernah bermain bersama JDT dianggap berjaya walaupun semuanya lengkap kerana ia berbalik kepada hendak dan tidak hendak, mahu dan tidak mahu seseorang pemain.
Dalam kes Arif Aiman, dia menunjukkan keinginannya untuk memahat nama.
Maka, tidak keterlaluan untuk kita menjadikan Arif Aiman sebagai penanda aras untuk mana-mana remaja yang mahu menjadikan bola sepak sebagai tempat cari makan kerana apa sahaja di bawah daripada par yang diletakkan pemain JDT itu, ia bolehlah dianggap gagal.
Kemampuan pemain kelahiran Pahang itu dianggap unik apabila memiliki nilai mandiri yang cukup tinggi ketika JDT dipenuhi pemain-pemain import berkualiti.
Namun, dia masih dipilih untuk berada dalam kesebelasan utama dan menjadi satu-satunya pemain tempatan yang berada dalam senarai ketika bertemu Shanghai Port.
Malah, dua gol dalam satu perlawanan menentang pendahulu Liga China sudah cukup untuk mengesahkan bahawa Hector Bidoglio memilihnya bukanlah kerana statusnya sebagai ‘anak emas’ JDT, tetapi dia adalah pemain yang ‘ada barang’ istimewa.
Justeru, Arif Aiman bukan sahaja perlu menjadi contoh buat generasi muda yang mahu masuk ke dunia bola sepak, namun dia juga adalah rujukan kita semua dalam keghairahan untuk membawa masuk lebih ramai pemain warisan.
Mana-mana yang kurang berbanding pemain ini sama ada melibatkan bakat, kesungguhan dan keinginan, maka ia tidaklah sesuai untuk bersama Harimau Malaya.
Selamat maju jaya dan ikutlah resmi padi buat Arif Aiman.















