fbpx
ISU kekurangan minyak masak peket masih membelenggu pengguna. – GAMBAR HIASAN

‘Bukan tak mahu jual, tapi minyak peket tiada’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – Segelintir peruncit mendakwa pemborong minyak masak peket bersikap pilih kasih dalam penjualan bahan mentah itu, sekali gus menyebabkan mereka sering terputus bekalan.

Seorang peniaga, S. Thelagavevathi, 52, berkata, isu tersebut berlaku dalam penghantaran bekalan tersebut oleh pihak pemborong bagi sesuatu kawasan.

Katanya, ini terbukti apabila premisnya tidak menerima mi­nyak masak peket itu, sedangkan kedai-kedai lain menerima tempahan pada hari sama.

“Bukan tidak mahu jual, tetapi minyak peket tiada. Kadangkala dua kotak diterima hanya mampu bertahan paling lama dua hari meskipun kita telah hadkan satu peket setiap pelanggan.

“Apabila kita sudah buat tempahan, terpaksa tunggu kadangkala sampai lima ke tujuh hari untuk dapat stok. Itu pun nasib sahaja kalau pemborong tidak pilih kasih,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Kata wanita itu, penjualan minyak peket sebenarnya bukan bersifat untung, sebaliknya ‘tanggungjawab sosial’ agar pengguna mendapat alternatif bagi minyak botol.

“Saya sendiri terpaksa beli sekotak minyak peket RM48 yang berisi 17 peket. Sepeket saya kena jual RM2.50. Dalam kiraan mudah, saya sebenarnya rugi lebih RM5 untuk sekotak minyak ini,” ujarnya.

Seorang pekerja kedai runcit dikenali Hambali, 30, pula memberitahu, budaya meletakkan syarat pembelian turut diterapkan dalam kalangan pemborong sendiri.

Dakwanya, ada segelintir pemborong menetapkan tahap-tahap hasil pembelian daripada mereka bagi mendapatkan bekalan minyak masak peket.

“Ada yang tetapkan pembelian RM200 ke atas bagi mendapatkan sekotak mi­nyak masak peket.

“Itu pun kalau nasib dapat sebab minyak masak peket ini laku keras. Ia boleh diumpama­ ‘penyeri’ atau ‘penarik’ seseorang pelanggan ke sesebuah kedai runcit,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN