Ilmu perubatan tradisional atau perbomohan yang ditimba suami Zainab memerlukannya berada di rumah guru pada lewat malam. – Gambar hiasan

K2

Dicerai selepas suami belajar ilmu jadi bomoh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEPANJANG lebih 30 tahun mendirikan rumah tangga bersama suami tersayang, seorang wanita yang ingin dikenali sebagai Zainab menyatakan bahawa perkahwinan mereka cukup bahagia.

Malah, setelah memasuki usia warga emas, mereka diserikan pula dengan keletah cucu-cucu yang menambahkan kebahagiaan.

“Selama ini suami saya seorang yang bertanggungjawab terhadap keluarga dan sepanjang menjadi isterinya dia menunaikan nafkah zahir dan batin dengan sebaiknya.

“Malah, anak-anak juga dilayani dengan baik olehnya dan suami saya sebolehnya akan cuba menunaikan apa juga permintaan anak-anaknya,” katanya kepada K2.

Namun begitu, perkahwinan yang mereka bina itu juga tidak terlepas daripada badai yang akhirnya membuatkan Zainab dan suaminya itu berpisah.

Semuanya berlaku setelah suaminya itu memilih untuk mendalami ilmu perubatan tradisional atau bahasa mudahnya untuk menjadi seorang ‘bomoh’.

Setelah mendalami ilmu itu, sikap suaminya mula berubah tidak seperti dahulu.

Zainab menjelaskan, setelah pencen bagi mengisi masa lapang, suaminya memilih untuk mendalami ilmu perubatan tradisional.

“Ada rakannya yang mengajaknya untuk mendalami ilmu tersebut, saya tidak kisah pada asalnya.

“Setelah menuntut ilmu itu, suami saya jarang pulang ke rumah dan dia menyatakan ilmu itu hanya boleh didalami pada lewat malam di rumah gurunya,” terangnya.

Setelah hampir tiga bulan mendalami ilmu itu, Zainab mula mendapati perubahan pada diri suaminya itu.

Suaminya itu mula menjadi seorang yang cepat panas baran, sering marah-marah serta menengkingnya jika ada perkara yang tidak kena di matanya.

Malah perubahan suaminya itu juga turut disedari oleh anak-anaknya.

“Bukan itu sahaja anak-anak saya melihat muka ayah mereka tidak seperti sebelum ini yang murah dengan senyuman.

“Mereka mendapati muka ayah seakan ‘bengis’ dan itu bukanlah dirinya yang sebenar,” jelas Zainab.

Dalam pada itu, suaminya itu juga sering mengeluarkan kata-kata kesat dan memaki Zainab tanpa sebab.

Malah, suaminya itu juga pernah menampar dan menendang Zainab ketika mereka bergaduh hal yang kecil.

“Sebelum ini suami saya tidak pernah berbuat demikian tetapi selepas dia mendalami ilmu perubatan tradisional ini dia bersikap demikian.

“Saya tidak menceritakan hal saya dipukul suami kepada anak-anak kerana tidak mahu mereka risau,” terangnya.

Selain itu, Zainab juga mendapati ketika di rumah, suaminya sering berjaga malam.

Suaminya akan duduk di dalam sebuah bilik bersendirian sehingga keesokan paginya dan membaca ayat-ayat yang Zainab sendiri tidak memahaminya.

Bilik itu juga dikunci dan suaminya tidak membenarkan sesiapa memasuki bilik itu.

Hari demi hari Zainab mendapati bahawa sikap suaminya itu semakin merisaukan. Malah, dia juga merasakan ‘suasana’ rumahnya itu menakutkan seperti ada makhluk lain turut ada di dalam rumah itu.

Zainab mengakui suaminya berubah menjadi baran dan perkahwinan mereka tidak lagi seperti sebelum ini.

“Ada sekali saya bertanya apa yang suami saya belajar sehingga dia berubah sikap. Secara tiba-tiba dia seperti ‘naik hantu’ apabila saya bertanya demikian dan dia mengamuk di dalam rumah,” terangnya.

Disebabkan ketakutan, Zainab menghubungi anaknya supaya datang mengambilnya.

Zainab mengambil keputusan untuk tinggal di rumah anaknya buat sementara waktu dan meninggalkan suaminya itu bersendirian di rumah.

Setelah beberapa hari Zainab mengambil keputusan untuk pulang.

“Setibanya di rumah, suami saya kembali mengamuk dan memarahi saya dan mengatakan saya isteri tidak bertanggungjawab kerana meninggalkannya.

“Bukan itu sahaja ketika mengamuk itu di hadapan anak saya dia seperti hilang pertimbangan dan menjatuhkan talak kepada saya,” katanya.

Zainab amat terkejut sekali dan dia tidak menyangka bahawa suaminya sanggup mengungkapkan kata tersebut.

Dalam tempoh itu, anak-anaknya ada berbincang dengan suaminya itu agar mereka berdua tidak berpisah.

Namun, anak-anaknya turut dimarahi dan suaminya itu tetap dengan keputusannya untuk berpisah dengan Zainab.

Akhirnya, Zainab dan suaminya itu sah berpisah pada usia masing-masing 60-an di sebuah mahkamah syariah di sebuah negeri di utara Semenanjung.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN