fbpx
SETIAP pasangan berkahwin mengharapkan cahaya mata sebagai penyeri rumah tangga. – Gambar hiasan

K2

Keberkatan dapat anak sulung perempuan?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Benarkah hadis yang menyebutkan bahawa sesiapa yang mendapat anak sulung perempuan mendapat keberkatan? Jadi, kalau dapat anak lelaki sulung adakah tidak berkat?

Jawapan: Setiap pasangan yang berkahwin mesti mengharapkan cahaya mata yang akan menambah keceriaan dalam rumah tangga. Anak merupakan anugerah dan rezeki daripada Allah SWT. Kelahiran anak juga membawa rezeki yang baik kepada ahli keluarganya.

Namun, yang menjadi persoalannya, adakah benar jika anak sulung itu perempuan, maka keluarga berkenaan beroleh keberkatan?

Setelah melakukan carian terhadap karya-karya hadis, maka ditemui riwayat dengan lafaz seperti berikut:

Antara keberkatan wanita adalah memulakan kelahirannya dengan anak perempuan. Berkenaan status riwayat ini: Al-‘Ajluni menukilkan penilaian al-Suyuti terhadap riwayat ini yang menyebutkan bahawa riwayat keberkatan anak sulung perempuan adalah tidak sahih.

Ibn al-Jauzi pula menilai hadis ini sebagai palsu. Al-Sakhawi al-Dailami turut meriwayatkannya melalui jalur daripada Wasilah bin al-Asqa secara marfu dengan lafaz sedikit berbeza, iaitu:“Antara keberkatan wanita ialah memulakan kelahirannya dengan anak perempuan.”

Tidakkah kamu mendengar Firman Allah SWT: “Dia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa dikehendaki-Nya.”

Allah SWT memulakan dengan anak perempuan sebelum anak lelaki.”

Begitu juga beliau riwayatkan dengan jalur Aisyah RA secara marfu, lafaz seperti berikut:

“Antara keberkatan wanita ke atas suaminya ialah memudahkan maharnya dan memulakan kelahirannya dengan anak perempuan.

Al-Sakhawi menyebutkan bahawa kedua-dua riwayat tersebut adalah daif. Hal ini kerana dalam jalur Wasilah bin al-Asqa terdapat dua perawi bermasalah iaitu Hakim bin Hizam dan al-‘Ala’ bin Kathir al-Dimasyqi.

Hakim bin Hizam dikritik oleh Abu Hatim al-Razi sebagai matruk al-hadith (hadisnya ditinggalkan). Al-Saji juga mengkritik Hakim bin Hizam sebagai seorang yang sering meriwayatkan hadis-hadis palsu.

Kesimpulan, riwayat berkenaan adalah tidak sahih, bahkan palsu menurut ulama hadis.

Tidak dinafikan bahawa kehadiran anak sama ada lelaki atau perempuan ke dalam sesebuah keluarga membawa ketenangan dan keberkatan.

Pasangan yang berkahwin dianjurkan untuk berdoa agar dikurniakan anak yang soleh dan solehah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN