fbpx

K2

Beli nasi, kuih dari kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGGUNA hanya perlu memesan makanan dari dalam kereta.

DARI jauh, beberapa buah kenderaan dilihat sedang beratur pada kaunter pesanan makanan di sebuah restoran pandu lalu yang terletak di stesen minyak di Setiawangsa, Kuala Lumpur.

Perasaan ingin tahu apa yang ditawarkan menyebabkan kru K2 turut membawa kenderaan yang dipandu beratur bersama kenderaan lain.

Tatkala sibuk meninjau keadaan sekeliling, kami terpandang menu makanan yang tergantung kemas di luar restoran pandu lalu itu.

Melihatkan menu pada papan tersebut, hati melompat kegembiraan. Seakan bermimpi apabila buat pertama kalinya restoran pandu lalu di negara ini menjual makanan ruji rakyat Malaysia iaitu nasi.

Sejak dahulu lagi restoran pandu lalu di negara ini dimonopoli syarikat pengeluar makanan antarabangsa yang hanya menyajikan makanan-makanan segera seperti ayam goreng, kentang goreng, sandwic dan burger.

BENJAMIN (kiri) dan Betty bersama-sama mengasaskan restoran Kejap Food yang menitikberatkan kesegeraan dalam mendapatkan makanan untuk dinikmati masyarakat hari ini yang mengamalkan gaya hidup sibuk.

Berbeza kini apabila dua sahabat berasal dari Sarawak, Benjamin Lau, 34, dan Betty Ting, 32, tampil mengubah landskap restoran pandu lalu di negara ini dengan menjual makanan tempatan rakyat Malaysia.

Dikenali sebagai Kejap Food, premis tersebut merupakan restoran khas pandu lalu pertama di Malaysia yang menawarkan makanan mengikut cita rasa rakyat tempatan.

Selain makanan berasaskan nasi, restoran itu turut menjual makanan popular lain seperti karipap, keropok lekor, sate, roti aiskrim yang tular dan kuih-muih tradisional.

Menurut Betty, restoran itu ditubuhkan berdasarkan pengalamannya yang sering berdepan dengan kesukaran untuk membeli makanan.

“Dahulu sewaktu bekerja sebagai pemaju perumahan, saya terpaksa ikat perut dan sering kelaparan kerana kesukaran mendapatkan makanan.

“Membeli makanan yang sihat dan mengenyangkan seperti nasi di restoran berdekatan pastinya merupakan satu perkara yang agak sukar kerana mahu mencari parkir sahaja sudah mengambil masa yang agak lama.

“Disebabkan tiada pilihan lain, saya terpaksa pergi ke restoran pandu lalu yang menjual makanan segera. Mahu membeli makanan segera setiap hari pun tidak berapa elok. Jadi selalunya saya mengambil pendekatan untuk berlapar dan tidak makan,” ceritanya kepada K2.

Berdepan masalah sama setiap hari membuatkan Betty tertanya-tanya mengapa tiada satu pun restoran pandu lalu yang menjual makanan tempatan dibuka di negara ini?

Situasi tersebut menyebabkan Betty terpanggil untuk merealisasikan ideanya bersama rakan niaga, Benjamin.

PEKERJA di bahagian dapur sibuk menyediakan tempahan-tempahan pelanggan. – Foto AMIR KHALID

Mereka kemudian bersepakat untuk membuka restoran pandu lalu Kejap Food dan memulakan operasi pada awal Oktober lalu.

“Restoran pandu lalu ini juga ditubuhkan bersesuaian dengan situasi semasa pandemik Covid-19 ketika norma penjarakan fizikal dipraktikkan tanpa perlu makan di dalam restoran,” katanya.

Menurutnya, nama Kejap Food dipilih simbolik dengan cara orang ramai mendapatkan makanan iaitu dalam tempoh yang sekejap.

“Kami sedar warga kota begitu sibuk dengan tugasan harian masing-masing sehingga tidak mempunyai masa beratur panjang atau mencari parkir untuk ke restoran bagi mengisi perut.

“Jadi misi Kejap Food adalah untuk membantu masyarakat di negara ini mendapatkan makanan cita rasa tempatan yang mengenyangkan dan sihat dengan mudah,” katanya.

Baru beroperasi tiga bulan lalu, namun restoran ini mendapat sambutan yang begitu menggalakkan daripada warga kota. Sajian turut dijual pada harga berpatutan iaitu kurang daripada RM10 untuk satu hidangan lengkap nasi berserta lauk.

Selain kudapan ringkas seperti kuih, keropok lekor dan roti aiskrim viral, makanan yang turut mendapat sambutan hangat ialah nasi ayam masak merah.

Aneka nasi lain juga ditawarkan seperti nasi ayam rendang dan nasi daging masak hitam.

Kejap Food turut menjual makanan sihat bagi individu yang sedang berdiet iaitu wrap ayam sambal pedas.

NASI ayam sambal pedas merupakan salah satu menu nasi yang ditawarkan.

Dalam pada itu, menurut Benjamin yang sebelum ini merupakan seorang cef di Singapura, tema makanan tempatan sengaja dipilih kerana secara tidak langsung membantu mempromosikan kepelbagaian juadah di negara ini.

“Jika kita lihat restoran pandu lalu yang ada di negara ini semuanya menjual makanan berasal dari negara luar seperti burger, kentang dan ayam goreng. Tiada satu pun makanan tempatan dijual.

“Padahal masyarakat di negara ini mempunyai ribuan jenis makanan yang mampu diketengahkan. Malah, makanan-makanan di negara ini sebenarnya boleh pergi jauh di peringkat antarabangsa.

Mana tahu satu hari nanti restoran pandu lalu dan makanan-makanan ini mampu dikenali dan berdiri sebaris restoran pandu lalu popular lain,” tambahnya.

Menurut Benjamin lagi, pada asalnya mereka mahu memfokuskan penjualan makanan dari Sarawak. Bagaimanapun, kesukaran mencari bahan dan menyedari cita rasa masyarakat yang lebih menggemari nasi atau makanan pedas menyebabkan makanan-makanan tersebut dipilih.

“Struktur restoran yang kecil menyebabkan penyediaan makanan tidak boleh dilakukan seratus peratus di sini. Jadi kami meminimumkan penggunaan dapur bagi menjaga kualiti makanan dan kebersihan dengan mengambil makanan-makanan yang dijual daripada pembekal. Begitupun, kesemua makanan yang dijual dijamin dari segi kebersihan dan aspek halal kerana diambil daripada sumber yang sudah diperakui. Hanya hidangan specialty sahaja dimasak di sini iaitu nasi ayam sambal pedas,” katanya.

Benjamin yang juga seorang juruaudit makanan amat menekankan aspek kebersihan restoran pandu lalunya itu.

“Pengalaman bekerja di Singapura menyebabkan saya begitu cerewet dalam hal kebersihan penyediaan makanan. Sebagai cef dan juruaudit makanan, saya bukan sahaja mahu makanan dijual sedap, tetapi juga bersih. Di Singapura, kadar keracunan makanan dilaporkan begitu tinggi sehingga ada yang menyebabkan kematian. Saya tidak mahu peristiwa seumpama itu terjadi di sini,” katanya.

Memulakan perniagaan bermodalkan RM300,000, Benjamin dan Betty bakal membuka restoran pandu lalu kedua di Shah Alam pertengahan tahun ini.

“Diharapkan restoran pandu lalu yang dibuka seawal pukul 7 pagi sehingga 10 malam ini membolehkan masyarakat mendapatkan makanan selera tempatan dengan mudah.

“Sekurang-kurangnya, ini menjadi alternatif buat warga kota mendapatkan makanan enak dan berkhasiat,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI