ALOR SETAR – Rakyat Malaysia yang terbabit dalam kemalangan di Thailand bukan sahaja perlu membayar pampasan, malah berisiko meringkuk di penjara di negara jiran.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan ANF Asia Global Services Sdn. Bhd., Mohd Fairuz Mohd Yusof, kemalangan yang mengakibatkan kecederaan parah iaitu koma atau maut dikategorikan sebagai jenayah berat di negara itu.
“Pihak kami pernah membantu rakyat Malaysia yang terlibat kemalangan di Thailand pada 2023 kerana mangsa koma. Pesalah itu dituduh atas kesalahan jenayah berat di Mahkamah Tinggi Narathiwat dan dihukum penjara dua tahun.
“Kita bantu memudahkan urusan lelaki itu dan hukumannya diringankan apabila tidak dikenakan hukuman penjara sebaliknya membayar denda sebanyak 15,000 baht,” katanya baru-baru ini.
Menurut Mohd. Fairuz, pesalah terbabit dinilai atas beberapa aspek termasuk risiko melarikan diri, rekod kesalahan lain, bantuan kepada keluarga mangsa, pematuhan parol dan ada penjamin warga Thailand.
“Pesalah lulus dalam kesemua aspek itu dan dilepaskan pasportnya untuk pulang ke Malaysia pada 2 Februari lalu,” katanya.
Jelas lelaki itu, pesalah yang terlibat nahas sehingga menyebabkan mangsa koma atau mati berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun jika mempunyai rekod dadah atau lari perbicaraan.
Oleh itu, beliau sentiasa menitikberatkan urusan pelanggan yang membeli insurans lengkap daripada syarikatnya.
“Kita sentiasa tawarkan insurans lengkap dan memastikan perkhidmatan selepas jualan dilaksanakan dengan sempurna sehingga kes selesai.
“Memang rakyat kita yang terlibat kemalangan akan menghadapi masalah komunikasi dan tiada siapa yang memihak mereka. Jadi, insurans lengkap itu penting,” ujarnya.
Tambahnya, ada yang memberi alasan tidak perlu insurans lengkap kerana hanya mahu ke Danok sebentar untuk menikmati tomyam.
“Namun, malang tidak berbau. Ada kes mangsa sempat makan tomyam di sana. Jangan lupa kita adalah warga asing sebaik masuk ke Thailand,” katanya.
Rakyat Malaysia yang mahu ke Thailand secara berkonvoi juga dikesan ada yang mengabaikan soal insurans lengkap. -KOSMO! ONLINE














