KUALA SELANGOR – Seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun diseksa dipercayai sejak empat tahun lalu dengan cara dicubit, ditumbuk dan disiram dengan air panas oleh ibu kandungnya dan kekasih wanita itu.
Perbuatan tidak perikemanusian pasangan itu terbongkar selepas mangsa menceritakan perkara tersebut kepada neneknya yang kemudiannya memaklumkan kepada bapa kandung kanak-kanak terbabit yang berusia 28 tahun.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd. Ambia Nordin berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kes dera itu pada pukul 5.14 petang kelmarin.
“Lelaki itu menerima panggilan daripada ibunya yang memaklumkan guru tadika menyatakan terdapat kecederaan seperti lebam, bengkak dan luka pada tubuh mangsa disyaki didera.
“Guru tadika ada bertanyakan perkara itu kepada ibu mangsa, namun wanita tersebut memberi alasan kanak-kanak terbabit terjatuh tangga.
“Mangsa kemudian dibawa ke rumah neneknya oleh jiran sebelum kanak-kanak itu menceritakan bahawa dia telah dipukul oleh ibu kandungnya dan teman lelaki wanita tersebut. Pasangan itu mencubit, menumbuk dan menyiram mangsa dengan air panas,” katanya.
Beliau memberitahu, bapa mangsa membuat laporan polis kerana bimbang akan keselamatan anak perempuan tunggalnya itu.
Ibu dan bapa kanak-kanak itu bercerai pada tahun 2020 dan mangsa dijaga oleh ibu kandungnya.
“Siasatan turut mendapati kekasih ibunya pernah membawa wanita itu dan mangsa tinggal di Yan, Kedah, namun mereka pulang semula ke daerah ini pada Ahad lalu,” katanya.
Ibu kandung mangsa yang berusia 32 tahun ditahan kelmarin di rumahnya di daerah ini dan direman selama lima hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001.
“Setakat ini usaha mengesan teman lelaki ibu mangsa yang disyaki berada di Kedah sedang giat dijalankan,” katanya.














