USIANYA masih belasan tahun ketika Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj membuat Pemasyhuran Kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Malah, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan itu memiliki pengalaman sebagai satu-satunya menteri yang berkhidmat di bawah lima Perdana Menteri sejak tahun 1974. Ahli politik yang akhirnya menyertai parti Bersatu itu juga pernah dilantik sebagai Senator Dewan Negara sebelum khidmatnya berakhir pada Jun tahun lalu.
Ini menjadikan beliau antara insan yang berpeluang melihat sendiri perubahan dialami negara sejak mencapai kemerdekaan daripada British 67 tahun lalu.
Sempena sambutan kemerdekaan tahun ini, Timbalan Pengarang Kosmo! Ahad, Zulkifli Jalil disertai wartawan, Siti Sarah Nurul Liyana dan jurufoto, Muhammad Ilham Syir’abbasy Zakaria menemu bual pakar Perlembagaan Persekutuan dan Sosiobudaya, Tan Sri Rais Yatim.
KOSMO! AHAD: Tahun ini, negara meraikan Hari Kemerdekaan yang ke-67 dengan tema Malaysia Madani-Jiwa Merdeka. Apakah maksud kemerdekaan yang sebenar bagi sesebuah negara?
RAIS YATIM: Merdeka bermaksud bebas daripada penjajahan. Terdapat tiga aspek bebas iaitu berdikari dari segi pemerintahan, ekonomi dan budaya.
Secara amnya, banyak perubahan telah berlaku sejak 67 tahun lalu. Namun masyarakat bumiputera, khasnya di Semenanjung hanya merdeka dari segi ekonomi sebanyak 30 peratus. Pentadbiran pula berasas kepada keperluan politik, bukan kepada keperluan bangsa.
Sementara dari segi budaya pula, sememangnya sudah cacamarba. Melayu itu sendiri sudah tidak lagi wujud seperti yang tertera pada artikel 160 Perlembagaan Malaysia.
Ini kerana, biarpun majoriti rakyat Malaysia beragama Islam, namun adat budaya dan bahasa Melayu semakin kurang diamalkan.
Kini, beberapa institusi bahasa tidak lagi memiliki kesan untuk mencernakan Bahasa Kebangsaan yang baik. Bahkan, peranan istana sebagai penerus warisan Melayu turut tidak ada satu pola budaya yang jelas.
Dari sini, sudah terjawab apa erti kemerdekaan tadi. Boleh disimpulkan bahawa tidak mustahil masyarakat bumiputera berpotensi untuk menjadi komuniti nombor dua, selepas masyarakat Cina di negara mereka sendiri.
Sebagai orang lama, boleh Tan Sri gambarkan perbezaan antara sambutan kemerdekaan pada zaman dahulu dengan sekarang? Dan apakah faktor perbezaan ini berlaku?
Saya berusia belasan tahun ketika pengumuman kemerdekaan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Masih jelas dalam memori, betapa ramainya orang awam membanjiri Stadium Merdeka untuk melihat sendiri peristiwa bersejarah itu.
Ketika itu, cinta terhadap nasionalisme sangat tinggi, orang awam sanggup datang naik kereta api dan bas.
Galakan kepada nasionalisme diteruskan oleh dua Perdana Menteri selepas Tunku Abdul Rahman dan mencapai kemuncak selepas tragedi rusuhan kaum 13 Mei 1969.
Semangat sama dapat dilihat pada pemerintahan pertama Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Datuk Seri Najib Tun Razak. Namun, keghairahan nasionalisme kelihatan semakin berkurangan pada era pemerintahan Tun Dr. Mahathir buat kali kedua dan berlanjutan sehingga ke era Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Biarpun sambutan masih berjalan saban tahun, namun saya tengok, jiwanya sudah tidak ada. Generasi sekarang tidak kisah apabila bahasanya hancur, tidak kisah budayanya tidak ada dan tidak kisah dengan kehilangan hak dalam Perkara 153 Perlembagaan iaitu kedudukan istimewa orang Melayu serta kaum bumiputera di Sabah dan Sarawak.
Ketika ini, ramai generasi muda menganggap kemerdekaan tidak lebih sekadar hari cuti umum. Mengapakah perkara ini berlaku?
Ini berlaku kerana kelemahan sistem pendidikan kita. Apabila guru sudah tidak memegang prinsip bina bangsa sewaktu menyampaikan ilmu, lahirlah anak watan seperti yang anda lihat sekarang ini.
Pada era 50-an dan 60-an, guru mengajar tanam sayur di atas batas dan memutikkan rasa sayang pada Bumi. Ketika itu, masyarakat Melayu, Cina dan India diberikan kelas Melayu khas.
Jadi, pergaulan antara kaum itu berlaku. Kita ada kolej tentera, Government English School dan sekolah Melayu.
Pelajar sekolah-sekolah ini mesti pandai tanam sayur, berdiksi, pandai berpuisi, bersajak serta permainan. Perkara ini tidak diamalkan dalam sistem pendidikan sekarang. Guru-guru tidak lagi mengajar Sejarah dengan semangat.
Mereka juga tidak lagi menekankan kepentingan sajak. Sekarang ini, sistem pendidikan lebih sekadar mengikut arus dan menjadi medan satu eksperimen ke satu eksperimen lain. Sebenarnya, ini bahaya bagi kita.
Di Singapura, mereka merangka sistem pendidikan mengikut keperluan pulau tersebut. Sambil mengejar ilmu yang bakal memberikan kelebihan ekonomi pada masa akan datang, mereka juga masih mengekalkan pelajaran mengenai warisan dan budaya Cina.
Kita dapati, di sekolah subjek Sejarah paling kurang diminati. Hakikatnya, dari subjek itulah kita boleh menyelami kesusahan orang dahulu menuntut kemerdekaan. Mengapakah perkara ini berlaku?
Pada saya, naratif kita mengajar Sejarah itu tidak tepat. Pernah suatu ketika dahulu, terdapat guru mengajar tentang Kota A Famosa di Melaka. Katanya, kota tersebut merupakan gedung peninggalan sejarah Melaka. Kalau saya guru Sejarah tersebut, saya akan cakap;
“Inilah tandanya kita dijajah oleh Portugis dan berdasarkan iktibar daripada peristiwa tersebut, kita mesti baiki kedudukan negara kita agar tidak lagi kembali ke keadaan tersebut”.
Cara ini akan menimbulkan semangat patriotik dalam diri pelajar-pelajar. Saya juga tidak setuju Melaka dianggap sebagai gedung budaya dan mengatakan ia melambangkan keindahan pemerintahan Melayu.
Sebenarnya, Kedah Tua adalah kerajaan Melayu pertama yang sudah hebat dan Lembah Bujang adalah buktinya. Selain itu, kewujudan masyarakat Baba Nyonya juga tidak diketengahkan.
Sedangkan masyarakat ini merupakan bukti kepada hubungan baik antara perdagangan China-Melaka. Mereka ini mengamalkan budaya dan bahasa Melayu, walaupun bebas beragama sendiri.
Mereka contoh terbaik proses asimilasi budaya yang berlaku sekiranya masyarakat bukan Melayu berpaksikan ketuanan Melayu.
Setelah 67 tahun merdeka, adakah impian untuk merapatkan jurang ekonomi antara kaum boleh dicapai? Sekiranya mampu, adakah ia mampu membangkitkan semula semangat nasionalisme Melayu?
Saya amati bahawa kerajaan tidak membuat perhitungan berkenaan berapakah nisbah penduduk Melayu di satu-satu kawasan.
Kelompongan ini membenarkan pemaju rumah untuk membuat sewenang-wenangnya. Hasilnya, semua pekan dikuasai oleh saudara-saudari Cina kita. Jika pekan dan bandar diduduki satu kaum, jangan harap ekonomi orang Melayu akan naik. Kita harus balik kepada sistem pendidikan tadi. Orang-orang Melayu juga kini sudah berpecah. Parti politik sahaja sudah ada tujuh.
Selain itu, Melayu lebih gemar menghantar anak ke sekolah Cina. Ini menunjukkan peralihan nilai berlaku. Sudah boleh dibilang dengan satu tangan berapa ramai sahaja yang masih lagi melaungkan nilai-nilai nasionalisme Melayu.
Menurut Tan Sri, apakah cara terbaik untuk ‘menyelamatkan’ jati diri dan kembalikan semangat nasionalisme dalam kalangan generasi muda?
Apa yang kita lihat pada setiap 31 Ogos adalah pertunjukan dan perarakan sahaja. Masyarakat tidak lagi memiliki semangat ‘roh’ kenegaraan.
Ini bermaksud, pendidikan kita di Malaysia perlu diubah. Sejak kecil lagi, anak perlu diajarkan budi bahasa, cinta kepada Bumi, bangsa, agama dan hormat sesama kaum.
Perkara ini diterapkan di Taiwan, Korea Selatan dan Jepun. Sekarang ini, Rukun Negara hanya dilaungkan sekali setahun.
Itu pun pakai perkataan ‘up’ dan ‘down’, bukannya ‘angkat’ dan ‘turun’. Itu sahaja sudah melambangkan kekosongan minda dan ke arah kekitaan yang kuat.
Saya lihat bahasa Inggeris sudah mengatasi bahasa Melayu. Sekarang, tidak ada satu ayat pun dalam pertuturan bahasa Melayu yang tidak dicampurkan dengan bahasa Inggeris. Jadi, kita akhirnya masih lagi dijajah. Saya boleh katakan kita sudah hilang budaya dan warisan kita.
Tidak keterlaluan juga sekiranya saya katakan bahawa kita sudah agak terlewat untuk perbetulkan keadaan.
Kita lihat kini, ada pihak yang cuba mengubah Perlembagaan Negara seiring peredaran zaman dan keadaan semasa. Adakah perkara ini wajar dilakukan?
Sebenarnya perkara sebegini sudah boleh dijangka terutama apabila kita lihat sendiri corak pemikiran generasi muda yang tidak lagi peduli dan memahami konsep ketuanan Melayu.
Cucu-cucu saya sendiri juga berkongsi pendapat yang sama kerana mereka sudah hidup dalam suasana globalisasi.
Oleh itu, usaha-usaha seperti yang saya sebut tadi penting supaya kita dapat bantu memahami kepentingan di sebalik identiti Melayu itu sendiri.














