LIPIS – Mungkin ada yang beranggapan durian yang baru luruh di kebun adalah yang terbaik untuk dinikmati kerana dilihat paling segar.
Namun hakikatnya, waktu terbaik menikmati raja buah itu adalah lapan hingga 12 jam selepas ia luruh kerana dalam
tempoh berkenaan durian tersebut mempunyai rasa yang lengkap.
Pegawai Bahagian Pembangunan Industri Tanaman Jabatan Pertanian Raub, Mohd. Ali Hanafiah Mazlan berkata, ini kerada dalam tempoh tersebut proses penapaian buah bermula.
Katanya, tempoh itu juga bagi menghasilkan asid karbosinik yang menghasilkan rasa lekit, pahit dan beraroma.
“Durian Malaysia mesti ada lima rasa ini iaitu manis, pahit, lemak, lekit dan beraroma.
“Justeru buah gugur jangan terus dimakan kerana rasanya lebih kepada manis dan lemak sahaja,” katanya keapada Kosmo! Ahad di sini semalam.
Menurut Mohd. Ali Hanafiah, kebiasaannya, durian yang jatuh terhempas ke atas tanah memerlukan masa lapan jam untuk proses penapaian, manakala raja buah yang jatuh di atas jaring memerlukan tempoh sehingga 12 jam.
Dalam pada itu, mengulas mengenai persoalan sama ada kualiti durian bergantung kepada kawasan penanaman beliau menjelaskan, apa yang membezakan kualiti adalah pengurusan dan penjagaan raja buah itu.
Katanya, jika pokok durian diurus atau dijaga dengan baik termasuk dari segi pembajaan, ia akan menghasilkan kualiti raja buah yang baik.
“Kalau orang kata tanah Raub cantik sudah tentu tidak dibaja pun tidak apa, tetapi ada juga masalah buah tidak mencapai kualiti (di Raub), sebenarnya kualiti ditentukan oleh tuan kebun,” ujarnya.















