KEMAMAN – Tekong dan keluarga mangsa bot karam dipercayai dilanggar tongkang di perairan Kemaman minggu lalu mahu pihak berkuasa terutama Jabatan Laut mengambil tindakan terhadap bot yang menunda kapal tersebut.
Tekong bot, Saipul Ridzuan Osman, 50, berkata, sewaktu kejadian, bot miliknya yang sedang bersauh dipasang lampu terang dan dapat dilihat dari jarak jauh.
“Sebagai tekong, saya sentiasa mengutamakan keselamatan penumpang. Saya percaya pihak berkuasa akan menyiasat punca kejadian dan mengambil tindakan demi keadilan kepada mangsa,” katanya.
Saipul Ridzuan yang mempunyai pengalaman 17 tahun mengendalikan bot tidak menolak kemungkinan pengemudi kapal yang menunda tongkang itu tertidur sewaktu kejadian pada pukul 6.30 pagi.
Dalam kejadian itu, Saipul Ridzuan bersama empat pemancing terselamat selepas berpaut pada tong ikan dan barang-barang yang terapung selama dua jam. Mereka berlima diselamatkan bot nelayan tempatan yang kebetulan melalui lokasi kejadian.
Kejadian itu mengorbankan dua mangsa lain iaitu Siti Zamimah Mohman Zobini, 29, dan pembantu tekong, Shahril Ismail, 50.
Sementara itu, mangsa terselamat, Ain Farhana Mohamad Husaini, 30, memaklumkan dia dan keluarganya berharap pengemudi tongkang tersebut bertanggungjawab atas kemalangan yang berlaku.
“Kami tidak tahu sama ada pihak tongkang itu telah ditahan atau tidak. Kami tidak dimaklumkan tentang perkembangan kes oleh pihak berkuasa.
“Saya seboleh-bolehnya mahu orang yang melanggar kami bertanggungjawab atas apa yang berlaku untuk keadilan semua,” katanya.
Ain Farhana berkata, dia dan keluarganya tidak putus-putus menitipkan doa agar jasad adiknya, Aina Husna, 25, dan seorang lagi mangsa Yusuf Kassam, 60, segera ditemui.
“Kami reda atas apa yang berlaku, namun kami masih berharap agar Una (Aina Husna) ditemui walau apa pun keadaannya,” katanya.
Berita berkaitan: ‘Perairan Kemaman jadi pusara ayah’














