fbpx
KEBAKARAN rumah kayu separuh kekal di Kampung Raya Redan, Pagoh, Muar yang meragut tiga nyawa, Jumaat lalu.

‘Dia selalu bawa anak buah pusing-pusing kampung’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MUAR – Kematian pasangan suami isteri warga emas dan cucunya dalam kejadian kebakaran sebuah rumah pusaka di Kampung Paya Redan, Pagoh di sini Jumaat lalu sangat mengejutkan penduduk dan jiran terdekat keluarga berkenaan.

Lebih mengejutkan mereka apabila anak lelaki pasangan berkenaan berusia 48 tahun itu tidak kelihatan sejurus kejadian malang menyayat hati menimpa keluarga berkenaan.

Salah seorang jiran yang mahu dikenali sebagai Rozana, 48, berkata, anak pasa­ngan warga emas itu yang kini diburu polis jarang bercampur dengan orang kampung dan sentiasa membuat hal sendiri.

Bagaimanapun katanya, lelaki itu disifatkan seorang anak yang baik dan bapa saudara penya­yang.

“Dia (anak pasangan warga emas) baik orangnya, selalu bawa jalan-jalan anak buah dia keluar ke bandar Muar, pusing-pusing kampung. Dia yang jaga kedua ibu bapanya dan pernah kerja kilang sebelum ini.

“Tidak sangka kejadian ini berlaku, punca semua itu kita tak tahulah, biarlah polis buat siasatan,”katanya ketika ditemui di Kampung Paya Redan, Pagoh di sini.

Kosmo! pada 10 Ogos me­laporkan, sepasang suami isteri warga emas ditemukan rentung di dalam bilik, manakala seorang cucunya maut akibat cedera parah di kepala apabila rumah pusaka yang didiami lima sekeluarga hangus terbakar di Kampung Paya Redan, Pagoh di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi itu, mangsa yang rentung di dalam rumah kayu separuh kekal itu ialah Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, dan isterinya, Ara Abdul Hamid, 76.

Cucu mereka, Noradriana Nor Hisyam, 11, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah di sini. Dia disahkan maut selepas mengalami kecederaan parah pada kepala akibat hentakan objek tumpul.

Kejadian itu turut menyebabkan seorang lagi cucu pasangan suami isteri itu, Norazima Mohd .Radhi, 14, patah tangan dan cedera di kepala.

Polis mengklasifikasikan kematian tiga individu berkenaan sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan anak lelaki kepada pasangan warga emas tersebut sedang dikesan bagi membantu siasatan kes.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN