Perjalanan dari jeti nelayan di Sebatu, Melaka menuju ke panggar atau rak kupang di pesisir pantai mengambil masa kira-kira 15 minit.
Begitu pun, menurut nelayan tempatan, Baharudin Rasol, 42, masa perjalanan bergantung kepada kuasa enjin bot dan keadaan gelora laut.
“Jika besar kuasa enjin botnya, 10 minit sahaja kita sudah sampai di kaki nibong, tetapi kalau laut bergelora mungkin lambat juga,” katanya sambil tersenyum.
Pada jarak kurang 50 meter dari rak kupang, penulis dapat melihat puluhan kayu nibong dipacak di dalam laut dengan susunan membentuk segi empat.
Dianggarkan kira-kira 10 set rangka kayu nibong dapat dilihat pada jarak sekitar 20 meter sahaja.
Kayu yang disusun melintang dijadikan tempat memijak dan mengikat tali benih kupang.
Tali kupang itu pula diikat dengan pemberat sebelum ditenggelamkan di dalam air.
Apabila hampir tiba di rak kupang, Baharudin atau lebih mesra dengan panggilan Udin mematikan enjin botnya dan perlahan-lahan menelusuri di celahan 500 juntaian tali benih kupang di ‘kaki’ kayu nibong yang seakan-akan berada di struktur rak kupang.
“Saya telah bantu ayah ternak kupang ini sejak belasan tahun lagi. Ketika itu, harganya dijual sekitar 80 sen sekilogram.
“Kini, harga kupang boleh mencecah RM8 sekilogram, kalau sudah dibersihkan ‘janggut’ serta dibuang teritip pada permukaan cengkerang. Kalau belum dibersihkan, harganya cuma RM6 sekilogram.
“Dulu sekali tuai, kami dapat kutip satu tan.
“Sekarang ini hasilnya lebih sedikit iaitu sekitar 12 kilogram sahaja kerana teritip yang muncul pada cengkerang lebih banyak, jadi ambil masa untuk membersihkannya.
“Teritip ini biasanya ada pada musim panas sahaja, tetapi zaman sekarang ini keadaan cuaca panas itu lebih lama, mungkin disebabkan isu pemanasan global,” ujarnya.
Jelasnya, tapak rak kupang itu disewa daripada Persatuan Nelayan Kawasan Jasin pada kadar RM450 setahun dengan hasil tuaian diperolehi setelah tempoh matang iaitu tujuh hingga lapan bulan.
Ujar Udin, kos membuat rak pula menelan belanja sekurang-kurangnya RM30,000 meliputi kos kayu nibong.
“Tiada tiang batu sepanjang 12 meter boleh digunakan untuk tampung kupang ini. Bahan yang paling tahan adalah kayu nibong.
“Kita pakai lebih 40 batang kayu nibong. Kos memulakan penternakan kupang ini sekitar RM30,000. Pada tahun pertama memang tidak ada untung .
“Keluarga saya ada enam rak kupang di perairan Sebatu ini. Biasanya, ketika fasa benih, saya akan turun ke laut untuk memeriksa keadaan tali bagi memastikan ia tidak terbelit antara satu lain. Dalam tempoh empat bulan, benih ini akan mula membentuk cengkerang kecil dengan saiz satu inci.
“Apabila hampir waktu matang, saya akan goncangkan tali-tali ini untuk menurunkan lumpur yang melekat pada tali dan cengkerang.
“Jika proses ini tidak dibuat, kupang tidak dapat membesar dengan baik dan akan gugur.
“Begitu juga masalah teritip, kalau sehingga menutup mulut kupang, maka saiz kupang akan menjadi lebih kecil kerana tidak dapat memakan plankton,” katanya.
Katanya, proses menternak kupang lebih mudah berbanding kerang yang perlu sentiasa dipantau dan diserakkan di dalam lumpur untuk memastikan tidak bertindih.
Maklumnya, menternak kupang hanya menggunakan kaedah 3T iaitu tanam, tinggal dan tuai.

“Kerang ambil masa lapan bulan untuk dituai hasilnya, lebih lama berbanding kupang.
“Kerang juga perlu diternak di kawasan yang boleh air surut, sebaliknya kupang hanya dibiarkan di dalam air.
“Mungkin disebabkan itu harga kerang lebih mahal, selain faktor permintaan dan pasaran,” katanya.
Ditanya mengenai penguatkuasaan larangan menjual kupang melibatkan hasil dari perairan di Port Dickson (Negeri Sembilan) dan Sebatu sejak April lalu susulan kes
keracunan makanan, Udin memberitahu, kejadian serupa pernah berlaku pada awal 90-an.
Katanya, disebabkan itu, keluarganya terpaksa menghentikan penternakan kupang selama 10 tahun.
“Dulu sekadar sakit perut sahaja. Keadaan kualiti air sekarang ini telah berubah, jadi susah untuk kita katakan.
“Kalau mengikut nelayan, mereka melarang kupang dimasak bersama menu berempah bagi mengelak sakit perut.
“Sebelum ini, kupang antara hasil laut yang paling laris terutama pada musim perayaan.
“Situasi ketika ini tidak akan menyebabkan penternakan kupang pupus kerana permintaannya sentiasa ada,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Melaka, Saufi Affandi Talib berkata, kawasan perairan seluas 550 hektar dari Muara Sungai Kesang sehingga Sungai Renggei iaitu kira-kira satu batu nautika dari pantai telah diwartakan sebagai Zon Indusri Akuakultur (ZIA) oleh Kerajaan Negeri Melaka termasuklah untuk ternakan kupan dan kerang.
“Kini, terdapat lebih kurang 56 rak kupang milik individu dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK). Ternakan ini dijalankan di kawasan ZIA antara Sungai Renggei.
“Manakala di kawasan peraiaran Umbai, kaedah penternakan melibatkan pemasangan P-Line dan pancang.
“Namun, dua kaedah ini yang sesuai untuk perairan di Melaka adalah rak dan pancang kerana keadaan arus yang kuat di bawahnya.
“Kami sentiasa menggalakkan penternakan kupang ini dijalankan oleh para nelayan.
“Hasil boleh mencecah lima tan atau 5,000 kilogram bagi setiap rak jika diusahakan dengan kaedah yang betul. Ini bermakna, hasil jualan secara borang sekitar RM5,000 sebulan bergantung juga pada permintaan,” katanya.
Tambahnya, mengikut data perangkaan Jabatan Perikanan 2023 dan statistik tahun lalu, sebanyak 106.67 tan metrik kupang dikeluarkan membabitkan nilai runcit bernilai RM1.3 juta, manakala nilai borong RM846,096.
Mengulas lanjut, dia berkata, selain memberikan hasil pendapatan kepada para penternak, penternakan kupang juga dapat meningkatkan pengeluaran akuakultur di kawasan perairan Melaka.
“Namun, kami tidak membenarkan pembinaan kelong ikan di rak kupang ini atas faktor keselamatan bagi mengelakkan berlakunya pencemaran. Bila ada kelong ini, biasanya akan ada rumah kecil yang dibina nelayan untuk berehat dan mestilah ada tandas di situ. Jadi, kita tidak mahu sisa buangan dibuang ke perairan tempat penternakan ini dijalankan,” katanya.














