SHAH ALAM – Projek pembinaan Shah Alam Sentral (SA Sentral) milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Seksyen 14 di sini, bakal dilancarkan secara rasmi bulan depan.
Pembangunan semula kawasan pusat bandar yang menelan kos RM2 bilion itu meliputi Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), SACC Mall, Plaza Alam Sentral dan Plaza Perangsang.
Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas berkata, SA Sentral menjadi projek ikonik pihaknya yang bercirikan bandar bebas karbon, teknologi hijau dan kecerdasan buatan (AI).
Kata beliau, pihaknya telah memulakan projek berskala besar itu dengan proses membaik pulih SACC termasuk parkir di kawasan berkenaan.
“Selain itu, PKNS ketika ini memfokuskan pembinaan kediaman termasuk kondominium berhadapan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) di stesen terakhir Dato’ Menteri.
“Projek peremajaan pusat bandar Seksyen 14 itu dilancarkan bulan depan dan dijangka siap dalam tempoh lapan hingga 10 tahun,” katanya ketika ditemui pada Forum Peluang Hartanah Selangor Pembuktian Masa Depan di Pusat Konvensyen SACC hari ini.-KOSMO!ONLINE














